PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan sesebuah organisasi, sama ada organisasi firma ataupun sekolah, terletak kepada kepimpinan pengurusnya atau pengetuanya. Di negara barat, kepimpinan merupakan bidang atau tajuk yang amat banyak dikaji oleh penyelidik dalam bidang sosial. Kajian dalam bidang kepimpinan pelajaran amat banyak tertumpu pada peringkat kepimpianan di sekolah. Ini disebabkan peringkat inilah yang dikatakan sebagai peringkat yang paling penting dalam apa juga sistem pendidikan. Perkara yang menjadi fokus kajian kepimpinan di peringkat sekolah ialah kepimpianan pengetua dan maklumat tentang hal ini banyak terdapat dalam kajian dan penulisan sekolah berkesan.
Dalam kajian dan penulisan tentang sekolah berkesan, tidak terdapat satu jenis kepimpinanan yang dikatakan lebih baik daripada yang lain. Walaupun begitu banyak saranan telah dibuat tentang kepimpinan cara demokrasi yang dikatakan lebih berkesan daripada kepimpinan secara laissez-faire, atau kepimpinan secara autokratik. Mengikut gaya kepimpinan seperti ini, mereka yang terlibat dalam pelaksanaan perubahan atau mereka yang mendapat kesan daripada perubahan itu diberi peluang untuk berbincang dan membuat keputusan.
Misalnya dalam pelaksanaan kurikulum baru di sekolah, pihak yang telibat dalam perubahan itu ialah guru dan pihak yang mendapat kesan daripada perubahan itu ialah pelajar. Mengikut cara kepimpinan demokrasi kedua-dua pihak, iaitu guru dan pelajar juga terlibat dalam perancangan dan membuat keputusan tentang pelaksanaan kurikulum itu. Cara begini boleh menimbulkan semangat kesanggupan untuk bekerjasama dan dapat memberi kepuasan kepada mereka dalam melaksanakan sesuatu program.
Walau bagaimanapun, kepimpinan pengetua yang berkesan bukan bererti kepimpinan yang berjaya mendorong stafnya membuat perubahan semata-mata, tetapi juga merupakan kepimpinan yang berjaya menyelesaikan masalah secara kolektif atau beramai-ramai (Hussein, 1992 : 106).
1.2 Definisi Keberkesanan Sekolah
Secara keseluruhan, tidak terdapat kata sepakat di kalangan pengkaji tentang definisi keberkesanan. Secara umum terdapat dua kriteria yang digunakan iaitu outcome atau output dan proses. Di Amerika Syarikat kebanyakan pengkaji mengukur keberkesanan sekolah bersaskan output, iaitu pencapaian dalam ujian piawaian bagi mata pelajaran matematik dan bacaan. Di United Kingdom pemboleh ubah proses seperti kedatangan, kelakuan pelajar dan peningkatan skor pencapaian digunakan sebagai pengukur keberkesanan. Selain mengukur keberkesanan dari segi kualiti ada juga pengkaji yang menggunakan kriteria kesaksamaan (equity).
Menurut Edmonds (dalam Sharifah, 2000 : 7), mendefinisikan keberkesanan bukan sahaja dari segi kualiti hasil tetapi juga dari segi kesaksamaan (equity). Mengikut beliau keberkesanan sekolah diukur berdasarkan kejayaan meningkatkan penguasaan akademik kanak-kanak kurang beruntung sehinggalah kadar bilangan kanak-kanak kurang beruntung yang mengusai akademik sama seperti bilangan kanak-kanak kelas menengah yang menguasainya.