Followers

Thursday, August 18, 2011

INTEGRASI TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK) DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEBAGAI SUATU INOVASI

 Oleh:Ilyana Kamal Bashah

1.0     PENGENALAN

2.0   KEPERLUAN MENGGUNAKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

3.0    PANDANGAN TERHADAP PENGGUNAAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM PENDIDIKAN
4.0 PERANAN GURU DALAM PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
5.0      KESAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
6.0      MOD PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
7.0      KATEGORI MOD PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

1.0     PENGENALAN

Peningkatan pengetahuan tentang faktor-faktor yang membantu dalam hal-hal berkaitan pedagogi dan cara terbaik mengaplikasikan teknologi baru ke dalam pendidikan formal telah berkembang selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).
Topik ini bertujuan, membantu guru meneroka potensi penggunaan Teknologi Maklumat dan membuat keputusan berkaitan keperluan penggunaan Teknologi Maklumat dari aspek jenis dan cara menggunakan Teknologi Maklumat dalam perkerjaan mereka mendidik murid-murid.
Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi telah menyumbang kepada perkembangan dunia pendidikan. Penggunaan talian 3D oleh perkhidmatan telekomunikasi seperti Celcom dan Maxis telah merancakkan perkembangannya di Malaysia.
Amalan pendidikan tradisional, tidak lagi dapat membekalkan murid dengan semua kemahiran yang perlu untuk membolehkan mereka bersaing dalam senario perkerjaan masa kini.
Bagi menghadapinya dan untuk terus bersaing, mereka perlu mengaplikasikan strategi penyelesaian masalah dan menggunakan alat yang sesuai untuk belajar, bertindak secara kolaboratif dan berkomunikasi. Oleh itu, persekitaran pembelajaran masa kini perlu melibatkan strategi-strategi dan alat yang bakal menyediakan murid untuk masa depan mereka.
                                                 
2.0 KEPERLUAN MENGGUNAKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Penguasaan bahasa lain selain daripada bahasa ibunda adalah amat digalakkan. Pelajar yang mampu menguasai bahasa lain akan mendapat menafaat yang besar daripadanya. Lebih-lebih lagi penggunaan teknologi maklumat sebagai alat pembelajaran dan pengajaran komunikasi mampu merealisasikan hasrat kementerian pendidikan agar  penguasaan Bahasa Inggeris boleh dipertingkatkan. Sebagai seorang pendidik adalah merupakan tanggungjawab mereka untuk menyahut seruan kerajaan bagi peningkatan dalam bidan pendidikan.
          Para guru tahu bahawa penggunaan Teknologi Maklumat secara bijak, dapat memperkayakan   persekitaran pembelajaran dan membolehkan murid mencapai kemahiran yang dapat digunakan dalam alam perkerjaan mereka. Oleh itu, golongan pendidik perlu membuat pertimbangan tentang potensi  teknologi maklumat untuk pengajaran dan pembelajaran dan menggunakannya dengan cara yang baik.
          Penekanan terhadap penggunaan Teknologi Maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran di Malaysia dapat dilihat dari aspek pendedahan yang dijalankan dalam kursus-kursus yang dijalankan oleh instutusi-instutusi  pendidikan guru seluruh negara. Selain menjadi  sebahagian matapelajaran teras kepada kursus asas perguruan di maktab-maktab perguruan.
 Kementerian Pelajaran turut mengadakan kursus-kursus dalam perkhidmatan seperti kursus KSPK Satu Tahun Teknologi Maklumat, Kursus 14 minggu Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan , kursus  satu minggu Aplikasi ICT dalam pengajaran dan Pembelajaran, kursus satu minggu Multimedia Dalam Pendidikan dan kursus Latihan Guru Sekolah Bestari, yang semuanya adalah menjurus kepada peningkatan keupayaan guru menggunakan Teknologi Maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran.


2.1 SEJARAH AKTIVITI DAN PENGGUNAAN BAHAN BERASASKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM PENDIDIKAN

Dekad 1959 mencatatkan sejarah penggunaan teknologi maklumat pertama di sekolah dengan penggunaan perisian IBM 650, pada pertengahan 1970an terdapat pergerakan yang menjurus ke arah computer-based instruction (CBI) yang juga dikenali sebagai computer-assisted instruction (CAI).
Pengenalan bahasa komputer Coursewriter yang mengkhusus kepada pembinaan perisian kursus atau perisian pengajaran. Penggunaan teknologi maklumat ini ialah untuk menyokong pembelajaran masteri melalui sistem Computer-Managed Instruction (CMI).
          Pada tahun 1977 diperkenalkan Komputer Mikro pertama di sekolah. Sumber berasaskan komputer tidak lagi bergantung kepada bahan luar sekolah seperti pejabat pendidikan daerah dan syarikat swasta. Guru berupaya menentukan apa yang mereka buat dengan komputer justeru membolehkan pengurusan pendidikan berasakan sekolah menjadi lebih mudah.
          Perisian komputer mikro diperkenalkan dekad 1980an, ini merupakan sebahagian daripada penggunaan teknologi maklumat, pembangunan alat pengarangan untuk pembangunan perisian kursus (courseware authoring tools) diperkenalkan.
Namun kesedaran betapa sukar bagi guru meluangkan masa menggunakan alat pengerangan untuk membangunkan perisian kursus menyebabkan kecenderungan terhadap pembangunan kursus menjadi semakin pudar menjelang akhir 1980an.
          Penekanan terhadap penilaian kursus meningkat apabila guru menganggap adalah lebih mudah membeli perisian kursus berbanding membangunkannya sendiri. Pergerakan ke arah literasi komputer bermula dengan penekanan kepada kemahiran menggunakan proses kata dan pengaturcaraan. Perkembangan ini memuncak pada tahun 1985 dan menimbulkan anggapan bahawa murid yang tidak mempunyai literasi komputer yang tinggi akan ketinggalan.

          Pada tahun 1990an literasi komputer disisih kerana para pendidik menganggap bahawa literasi komputer tidak dapat dihubungkan kepada mana-mana kemahiran mata pelajaran yang khusus. Menjelang 1990 peningkatan penggunaan sistem pembelajaran bersepadu (ILS) melalui peningkatan penggunaan sistem rangkaian serta pembangunan dan pembangunan multimedia.
          Dekad 1990an mencatat sejarah penting apabila penggunaan secara meluas internet, minat terhadap keupayaan menggunakan teknologi maklumat untuk berkomunikasi di kalangan pendidik meningkat dan telah dapat mencetus penekanan terhadap literasi teknologi bagi meningkatkan kualiti pendidikan. Justeru pada tahun 2000 sistem berasaskan simulasi, robotics dan situasi virtual (virtual reality) diberi penekanan dalam mencetus kreativiti pelajar di sekolah.             
     
3.0      PANDANGAN TERHADAP PENGGUNAAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM PENDIDIKAN
Media dan perhubungan audio visual , Menurut Saettler pada tahun 1990 penggunaan teknologi pendidikan pada awalnya adalah tertumpu kepada media audio visual. Namun pada tahun 1988 Association for Communications and Tecnology mula mengambil kira penggunaan telekomunikasi dan teknologi maklumat berasaskan computer sebagai media pengajaran dalam pendidikan.
          Sistem reka bentuk pengajaran, penghujung tahun 1970  terdapat pandangan bahawa teknologi pendidikan harus dilihat bukan sahaja sebagai media perhubungan untuk menyampaikan maklumat pengajaran tetapi sebaliknya sebagai satu pendekatan sistematik ke arah mereka bentuk, membangunkan dan menyampaikan pengajaran yang sesuai dengan keperluan yang khusus.
          Alat Latihan kemahiran, keperluan terhadap kemahiran penggunaan computer dalam latihan vokasional di sekolah-sekolah terhadap keperluan ini telah membawa kepada pandangan bahawa penggunaan teknologi berkaitan dengan computer dan komunikasi secara praktikal adalah satu cara yang sesuai untuk mempelajari cabang-cabang mata pelajaran asas teknologi seperti robotic, sistem pembuatan dan mereka bentuk berbantukan computer.
          Teknologi yang berkaitan dengan komputer, pandangan terhadap perluasan penggunaan computer dalam pendidikan telah membentuk satu cabang baru teknologi pendidikan iaitu Educational Computing yang merangkumi sistem pengajaran dan sistem sokongan teknologi berasaskan computer dalam bentuk aplikasi dan peralatan.
           Dengan perluasan pandangan yang merangkumi pelbagai sumber teknologi termasuk media, system pengajaran dan bahan sokongan, yang berasaskan computer, Educational Computing dikenali sebagai Teknologi Pendidikan. Pandangan ini didokongi International Society For Technology in Education (ISTE).

4.0     PERANAN GURU DALAM PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

 4.1        Justifikasi Penggunaan Teknologi Maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan Teknologi Maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran adalah diperlukan untuk tujuan berikut:

(a)         Motivasi
Usaha untuk memotivasikan murid untuk belajar, menikmati pembelajaran dan meningkatkan kehendak untuk terus belajar adalah semakin penting bagi mengelakkan keciciran kerana keciciran didapati telah meningkatkan masalah social. Teknologi boleh memainkan peranan penting ke arah itu. Antara usaha memotivasikan murid melalui pendekatan teknologi termasuklah :

 i.          Dapat menarik perhatian murid.
Kesan visual dan interaktif sumber berasaskan Teknologi Maklumat dapat membantu murid menumpukan perhatian dan mengalakkkan mereka bertindak lebih lama terhadap tugasan pembelajaran.

ii.        Melibatkan Murid melalui kerja-kerja penghasilan.
Guru melibatkan murid dalam penghasilan kerja yang berasaskan teknologi termasuk pemproses kata, hypermedia, grafik computer dan telekomunikasi. Murid didapati menyukai aktiviti berkenaan kerana dapat meningkatkan kreativiti, ekspresi kendiri dan kebanggaan melihat hasilan yang   kelihatan professional.

iii.       Meningkatkan anggapan bahawa murid sendiri yang mengawal pembelajaran
Apabila murid beranggapan bahawa mereka dapat mengawal pembelajaran, mereka dimotivasikan secara intrinsic hasil kesedaran bahawa mereka sedang belajar.
                                                         
(b)      Menyokong Pendekatan baru dalam pengajaran dan pembelajaran.
Antara pendekatan pengajaran baru yang dapat memanfaatkan Teknologi Maklumat termasuklah :

i.          Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran dalam kumpulan kecil yang berasaskan tindakan koperatif dapat dipertingkatkan melalui penggunaan multimedia, serta penghasilan projek kecil hypermedia, penyelidikan dan interaksi on-line.

ii.        Memudahkan penyelesaian masalah.
Murid dapat berinteraksi  melalui Teknologi Maklumat untuk melaksanakan Higer Order Thinking Skills (HOTS) dan menyelesaikan masalah.

iii.       Intellectual Partnership
Perkongsian hasil intelek melalui penggunaan Teknologi Maklumat dipercayai dapat mempertingkatkan kualiti produk dan mungkin mengubah matlamat pendidikan sejagat.

©         Meningkatkan Produktiviti guru
Teknologi Maklumat dapat membantu guru mengatasi masalah bebanan pengurusan yang meningkat. Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa jika guru dapat mengurangkan masa bagi penyimpanan rekod dan persediaan, mereka dapat menumpu lebih kepada menganalisa kehendak pembelajaran murid berinteraksi dengan murid. Produktiviti guru dapat  dipertingkatkan dengan adanya kemahiran melalui latihan dalam menggunakan pemproses kata, hamparan kerja, persembahan elektronok, pengkalan data, penerbitan atas meja, komunikasi internet dan e-mail.

(d)      Keupayaan pengurusan pembelajaran murid.
Teknologi maklumat dapat membantu guru dalam, menghubungkan murid kepada sumber pembelajaran melalui penggunaan rangkaian dan laman web internet. Kedua membina bahan media bagi membolehkan murid mendapat gambaran permasalaan yang perlu diselesaikan serta menunjuk cara penyelesaian masalah.

(e)      Merupakan kemahiran yang diperlukan untuk era maklumat.
Murid perlu mempelajari kemahiran belajar yang dapat menyediakan mereka untuk menjadi pelajar sepanjang hayat dalam masyarakat berinformasi. Antara kompetensi yang perlu untuk tujuan tersebut termasuklah :

i.          Literasi tentang teknologi
Ini dinyatakan melalui piawaian National Education Tecnology Standards for Students.

ii.        Literasi Maklumat
Johnson dan Eeisenberg (1996) menyenaraikan enam kemahiran maklumat yang perlu dikuasai murid, iaitu keupayaan mendefinisikan tugasan, strategi mencari maklumat, kemahiran lokasi dan mengakses maklumat, kemahiran menggunakan maklumat, kemahiran mensintesis dan kemahiran menilai maklumat.

iii.       Literasi visual
Masyarakat kini semakin banyak menggunakan perwakilan visual untuk menyampaikan maklumat. Sehubungan dengan itu guru perlu menyedari keperluan murid  mempunyai literasi visual yang lebih baik.

5.0      KESAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Terdapat kajian yang menunjukkan  penggunaan Teknologi Maklumat secara berkesan boleh meningkatkan pencapaian murid. Projek Apple Classrooms of Tomorrow (ACOT) (1995) mendapati pelajar yang menggunakan Teknologi Maklumat secara intensif semasa persekolahan mempunyai cirri-ciri berikut:
a)    boleh meneroka dan menyampaikan secara dinamik dalam pelbagai bentuk
b)   lebih tinggi keyakinan diri dan kemahiran social
c)    boleh berkomunikasi secara berkesan mengenai perkara-perkara yang kompleks
d)    mempunyai kemahiran akses kendiri dan terarah kendiri
e)    mengetahui kebolehan masing-masing dan boleh berkongsi dengan orang lain
f)     boleh berkerja secara kolaboratif dan
g)    lebih bersedia untuk menghadapi masa depan.

6.0      MOD PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Dalam konteks  penggunaan Teknologi Maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran, tidak ada satu cara yang boleh dikatakan sebagai terbaik atau yang mesti digunakan. Pendekatan yang terbaik sebenarnya adalah apabila penggunaan Teknologi Maklumat itu dapat mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran dari aspek kandungan, kemahiran dan sikap berkesan, dengan mengambil kira tempoh masa, guna tenaga dan kos.

a)           Merancang pengajaran dan pembelajaran berasaskan mod penggunaan Teknologi Maklumat
Sebelum menggunakan mana-mana mod, guru harus   membuat perancangan yang teliti supaya penggunaan Teknologi Maklumat berkaitan dapat memberikan kesan yang terbaik kepada  proses pengajaran dan pembelajaran.

          i.        Keupayaan Guru
Pengetahuan tentang Teknologi Maklumat yang hendak diguna. Pengetahuan tentang strategi pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dan teori pembelajaran di sebalik penggunaan sesuatu strategi. Kemahiran mengandalikan sistem dan sistem menilai guru termasuk apresiasi terhadap teknologi, pandangan tentang hakcipta intelek.

ii.   Keupayaan murid
Pengetahuan murid tentang teknologi yang hendak diguna, kemahiran mengandalikan alatan dan sistem nilai murid termasuk classroom dynamics, apresiasi terhadap teknologi, dan pandangan tentang hakcipta intelek.
                                                                       
iii.  Prasarana persekitaran
Infarastruktur termasuk lokasi, sambungan elektrik, kewujudan sistem rangkaian setempat. Jenis bilangan dan alatan yang ada dan boleh digunakan. Jenis perisian dan bahan yang ada dan boleh digunakan   termasuklah kualiiti, Bilangan salinan dan kesesuaian dengan kandungan pelajaran yang hendak dipelajari oleh murid.

7.0      KATEGORI MOD PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pusat  perkembangan Kurikulum, kementerian Pelajaran telah mengkategorikan penggunaan Teknologi Maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran kepada empat Mod, iaitu ;

a)   Mod Tutorial
Dalam mod tutorial, Teknologi Maklumat dan Komunikasi digunakan untuk menyampaikan kandungan pelajaran berdasarkan urutan yang telah ditetapkan dan merangkumi pendedahan kandungan (pembelajaran ekspositori), tunjuk cara sesuatu fenomena dengan kawalan sistem, latihan atau latih tubi yang disampaikan dan dikawal oleh sistem.
Contoh teknologi yang boleh digunakan dalam mod tutorial termasuk system computer yang standalone atau yang dirangkaikan, perisian pendidikan dalam bentuk courseware yang disimpan samada pada harddisk, cdrom, atau berbentuk laman web, sistem kawalan berbentuk computer-aided instruction (CAI) yang menjalankan pengarahan proses pengajaran dan seliaan proses pembelajaran.
          Situasi yang sesuai bagi menggunakan mod tutorial ialah kelas yang ramai murid, kelas yang mempunyai murid yang berkeupayaan berbeza, pembelajaran kendiri apabila guru bertugas di luar, pemulihan untuk murid yang menghadapi kesukaran belajar, pengayaan untuk murid yang cerdik dan pendekatan pembelajaran direktif.
          Kebaikan mod tutorial dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar, di samping dapat mengindividukan pembelajaran, pelajar boleh belajar dengan seliaan guru yang minimum, dan pelajar boleh belajar mengikut kemampuan sendiri, namun dalam intergrasi ini kelemahan yang ketara ialah apabila ianya boleh mengakibatkan peningkatan tempoh masa yang diperlukan pelejar untuk mempelajari sesuatu kandungan pelajaran dan secara tidak langsung akan mengakibatkan pembaziran masa dan tenaga.

b)   Mod Penerokaan
Dalam Mod penerokaan, Teknologi Maklumat digunakan sebagai medium untuk mencari dan mengakses maklumat secara penerokaan daripada bahan sumber seperti CDROM, portal maklumat dan internet. Dalam hal ini pelajar akan mempelajari dan mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi di bawah kawalan system, melalui mod penerokaan pelajar dapat menetukan dan mengawal maklumat yang diterima berbanding mod tutorial iaitu pelajar hanya menerima bahan pembelajaran yang ditentukan dan dikawal system.
Tujuan utama mod penerokaan bukannya untuk mencari jawapan tetapi memfokus kepada penglibatan pelajar dalam membentuk konsep atau kefahaman tentang sesuatu perkara. Contoh teknologi yang boleh digunakan dalam mod penerokaan termasuk akses kepada sumber yang pelbagai di internet melalui enjin gelintar, perisian kursus berkonsepkan pelbagai pilihan, penerokaan dan permainan berbentuk simulasi.
     Situasi yang sesuai menggunakan mod ini ialah pembelajaran berbentuk inkuiri penemuan, pembelajaran yang menjurus kepada penyelesaian masalah, pembelajaran berbentuk simulasi, dan strategi pembelajaran kajian masa depan terutama dalam mata pelajaran Geografi ataupun Kajian Tempatan.
     Kebaikan mod penerokaan ialah dapat memupuk pemikiran kritis dan penyelesaian masalah bagi menangani masalah sebenar, memberi peluang kepada pelajar menentukan haluan dan kemajuan pembelajaran mereka, di samping mendorong penglibatan pelajar yang lebih mendalam terhadap kandungan pelajaran, lantaran membuka peluang kepada guru menerapkan strategi-strategi pembelajaran yang berasaskan teori pembelajaran constructivism.
Namun tidak dapat dinafikan kelemahan dapat dilihat pada kemungkinan berlaku situasi pelajar akan tersasar daripada matlamat utama penerokaan, dan pendedahan kepada terlalu banyak pilihan mungkin menyebabkan pelajar tidak dapat memfokus kepada objektif sebenar pembelajaran, bahkan kemungkinan besar berlaku situasi pelajar akan ‘lemas’ dalam proses penerokaan, hasil penumpuan yang terlalu mendalam pada satu-satu peringkat penerokaan, menyebabkan proses pembelajaran menjadi terlalu lama.

c)   Mod Aplikasi
Dalam mod aplikasi, Teknologi Maklumat digunakan sebagai medium untuk membantu murid melaksanakan tugasan pembelajaran dan menyal;urkan maklumat kepada orang lain, berbanding mod tutorial dan penerokaan di mana Teknologi Maklumat hanya digunakan sebagai mekanisma untuk penyaluran maklumat dari sumber kepada murid.
          Contoh teknologi yang boleh digunakan dalam mod ini termasuk pemproses kata untuk menghasilkan karangan, hamparan elektronik untuk memaparkan carta, editor grafik, editor bunyi, editor movie, perisian persembahan elektronik dan editor laman web untuk menyampaikan persembahan, dan juga perisian mereka untuk berbantukan komputer bagi mencipta reka bentuk bahan.
          Situasi yang sesuai ialah memproses data kerja lapangan dengan cepat dan memindahkan dapatan kajian lapangan kepada bentuk yang lebih mudah diinterpretasi, contohnya memudahkan proses membina graf supaya tumpuan boleh diberikan kepada mengkaji kesan pembolehubah dalam eksperimen, mempercepatkan proses membuat pengkelasan atau mengisi data dengan tujuan menumpukan pembelajaran kepada trenda pada data dan hasil, serta mempersembahnkan dapatan dalam bentuk multimedia.
          Kebaikan mod aplikasi dapat dilihat melalui pelajar dapat memberikan tumpuan kepada aktiviti pembelajaran sebenar kerana kerja-kerja pemprosesan data telah dipermudahkan, selain itu dapat meningkatkan kemahiran menggunakan pelbagai aplikasi komputer sesuai dengan penggunaan komputer di alam pekerjaan.
          Dalam hal ini guru perlu memastikan pelajar mempunyai kemahiran menggunakan sesuatu aplikasi sebelum tumpuan pembelajaran dapat dijuruskan ke arah pembelajaran tentang kandungan mata pelajaran. Gangguan terhadap pembelajaran yang autentik tentang kandungan mata pelajaran mungkin berlaku apabila tumpuan pelajar beralih kepada usaha untuk mempertingkatkan kemahiran menggunakan sesuatu aplikasi komputer, dan masalah-masalah teknikal semasa menggunakan aplikasi (seperti lesen tamat tempoh, ruang penyimpanan data dan memori tidak mencukupi, terputus bekalan elektrik) boleh mengganggu proses penghasilan produk pembelajaran.

d)   Mod Komunikasi
Dalam mod komunikasi, Teknologi Maklumat digunakan sebagai medium perhubungan oleh guru dan murid di lokasi yang berbeza menghantar dan menerima maklumat anatara mereka. Perkongsian maklumat boleh berlaku melalui bentuk teks, grafik, audio, vedio atau pelbagai kombinasi.
          Contoh teknologi yang boleh digunakan dalam mod ini termasuk chat, email, audio conference, video conference, pembinaan laman web untuk akses melalui internet. Situasi yang sesuai menggunakan mod ini termasuk pembelajaran berbentuk kolaboratif, pertukaran maklumat berhubung budaya, menganalisis dan membuat perbandingan, dan usaha untuk membuka minda pelajar.
          Melalui mod komunikasi dapat memupuk interaksi antara pelajar melalui aktiviti pembelajaran koperatif dan kolaboratif, memupuk budaya berkerjasama pelajar dengan orang luar dalam proses pembelajaran, selain itu boleh melibatkan kepakaran orang luar dalam proses pembelajaran di samping capaian kepada maklumat yang terkini.
          Namun begitu kelemahan juga ketara melalui kemungkinan berlaku situasi iaitu pelajar akan tersasar dari matlamat utama komunikasi iaitu untuk mempelajari kandungan pelajaran, di samping pendedahan kepada budaya luar yang memungkinkan mempunyai kesan buruk kepada sistem nilai pada pelajar itu sendiri, tambahan lagi kos yang tinggi untuk terus berkomunikasi.

8.0      Kesimpulan
Penggunaan Teknologi Maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran dari aspek sejarah, peranan guru, justifikasi mengapa Teknologi Maklumat diperlukan dan kesan penggunaan Teknologi Maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran, iaitu mod tutorial, mod penerokaan, mod aplikasi dan mod komunikasi.
Setiap mod dibincang dari aspek contoh teknologi berkaitan, situasi di mana mod berkenaan sesuai digunakan dan kebaikan serta kelemahan setiap mod. Penekanan juga diberikan kepada faktor-faktor yang perlu diambil kira semasa merancang pengajaran dan pembelajaran berdasarkan mana-mana mod.


BIBLIOGRAFI
Apple Classrooms of Tomorrow (ACOT)(1995). A Report on 10 Years Of ACOT Research.
        Cupertino, CA: Apple Computers Inc.

Christopherson, J (1997). The Growing Need For Visual Literacy At The University.
        Proceedings Of The International Visual Literacy Association 1996 Annual Meeting,
        Cyeyenne, WY (ERIC document reproduction NO.ED 408963).

DfEE (1998). Teaching: high status, high standards. Requirements for courses of initial 
        teacher training. Circular 4/98.

Internatinol Society For Tecnology in Education (1998) National Education Technology   
        Standards for Students. Eugene, Oregon:ISTE.      

Leask, M & Pachler, N (1999), Learning To Teach Using ICT In The Secondary School.
        London: Routledge.

Pusat perkembangan Kurikulum (2001). Pemggunaan Teknologi Maklumat dan
        Komunikasi (ICT) dalam pengajaran Dan pembelajaran. Malaysia: Pusat 
        Perkembangan Kurikulum.

Norhashim Abu Samah, Mazlan Youp & Rosalinda alias. 1996. Pengajaran berbantukan
        Komputer. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Roblyer, M & Edwards, J (2000). Integgrating Educational Technology Into Teaching. 2nd
        ed. New Jersey Ohio: Prentice Hall.

Shaifol Bahary Sulaiman. 2004. Get Logik. (atas talian) www.geocites. com/shaifol16900

Saettler, P. (1990). The Evolution Of American Education Technology. Englewood, CO:
        Libararies Unlimited.

Summer, J (1990-1991). Effectof Interactivity Upon Student Achievement, Completion
        Intervals and Effective Perceptions. Journal Of Educational Technology Systems
        19(1).  









                                                                                 




3 comments:

  1. Tahniah atas maklumat dan minta izin untuk jadikan bahan rujukan saya..terima kasih

    ReplyDelete
  2. T kasih.izinkn saya mengambil ini srbagai contoh

    ReplyDelete
  3. T kasih.izinkn saya mengambil ini srbagai contoh

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...