Followers

Saturday, October 13, 2012


Pelancongan Hidupan Liar


 Lembu-lembu tanduk besar
 Fox picture: runner-up in 2011 Veolia Environnement Wildlife Photographer of the Year competition - animal pictures 
1.1              Pelancongan Berasaskan Alam Semulajadi

Pelancongan hidupan liar adalah pelancongan berkait dengan flora dan fauna di alam semulajadi.  Dalam membincangkan tentang Pelancongan Hidupan Liar, ianya tidak akan lari dari membincangkan tentang Pelancongan Alam Semulajadi. Istilah “Pelancongan Semulajadi” jarang digunakan oleh pelancong. Ia bukanlah sejenis bentuk pelancongan tetapi lebih kepada satu istilah nilai yang dapat dilihat melalui keinginan, pengalaman dan aktiviti para pelancong. Istilah “semulajadi” dalam pelancongan secara amnya melibatkan pengalaman di tempat-tempat semulajadi, selalunya melibatkan aktiviti luar yang kekal dari segi kesannya terhadap persekitaran. Ini boleh dikelaskan dari aktiviti pelancongan pasif seperti berjalan menikmati pemandangan hutan atau pelancongan yang bersifat pengalaman pengembaraan sehinggalah kepada pelancongan yang berbentuk memerhati, memandu sambil menikmati pemandangan, menikmati pemandangan di pantai dan memerhati hidupan liar. Selalunya jenis pelancongan ini menggabungkan beberapa aktiviti pelancongan kepada satu pakej pelancongan (Higginbottom,2004).

Bagi penggemar sukan luar, terdapat banyak aktiviti pengembaraan lasak berasaskan alam semulajadi atau persekitaran semulajadi. Peranan alam semulajadi sebagai pusat pelancongan berbeza mengikut kegemaran dan kecenderungan pelancong, sama ada seseorang itu dari  jenis pelancong pasif atau pun pelancong aktif. Pelancongan berasaskan alam semulajadi akan lebih menarik jika disertai dengan elemen-elemen tambahan seperti makanan sesuatu tempat, budaya, ketenangan tempat tersebut, kesihatan, keperluan keluarga, kemudahan, kenderaan dan sebagainya. Kesemua ini menjadi asas keperluan bagi memastikan pelancong berpuas hati dalam satu- satu pakej percutian. Terdapat pelbagai jenis pelancongan berasaskan alam semulajadi seperti eko pelancongan, pelancongan berasaskan pengembaraan lembut dan lasak, pelancongan berasaskan kegemaran tertentu, pelancongan hidupan liar dan pelancongan lestari (sustainable).

1.2              Definisi Pelancongan Hidupan Liar

Hidupan Liar adalah istilah umum meliputi flora dan fauna. Dalam penggunaan popularnya, hidupan liar merujuk kepada haiwan dalam persekitaran liar. Kebiasaan gambaran klasik istilah “hidupan liar” selalunya merujuk kepada sekumpulan haiwan atau burung. Akan tetapi istilah “hidupan liar” sebenarnya meliputi semua jenis haiwan, termasuk serangga hinggalah  hidupan laut. “Memerhati hidupan liar” adalah apa sahaja aktiviti yang melibatkan seseorang pelancong memerhati hidupan liar. Ianya biasa digunakan bagi aktiviti “melihat atau memerhati” haiwan. Aktiviti inilah yang membezakannya dengan aktiviti pelancongan berasaskan hidupan liar yang lain (Fredline Elizabeth dan Faulkner Bill, 2001). Contohnya mereka yang terlibat dalam aktiviti memancing atau memburu haiwan liar mempunyai kaitan dengan haiwan yang diburu atau dipancing.  Sebaliknya, aktiviti memerhati pula tidak melibatkan interaksi pelancong secara aktif dengan haiwan yang diperhati. Manakala istilah “pelancongan hidupan liar” pula adalah satu bidang pelancongan yang tersusun dan diurus bagi membolehkan haiwan ditonton atau dilihat.

            Pelancongan hidupan liar mengalami perkembangan pesat selepas Perang Dunia Kedua. Hidupan liar boleh dilihat di taman-taman negara atau dalam bentuk dikurung, di tanah-tanah kerajaan mahu pun persendirian. Pelancongan Hidupan Liar melibatkan satu pengalaman memerhati hidupan liar dalam persekitarannya yang semulajadi serta di habitat asalnya. Pelancongan jenis ini mendapat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri. Ia turut melibatkan haiwan liar dan bukan peliharaan serta meliputi persekitaran haiwan yang bebas atau terkurung (Pelancongan New South Wales, 2008). Pusat Kajian Kerjasama (The Cooperative Research Centre) Pelancongan Lestari, Australia mendefinisikan pelancongan hidupan liar seperti berikut; “pelancongan yang melibatkan pertembungan  antara haiwan bukan peliharaan yang bebas atau dalam kurungan. Ini termasuk aktiviti pelancongan pelbagai seperti memerhati burung, memerhati paus, memerhati hidupan liar secara umum, mengunjungi zoo dan akuarium, menyelam sambil menikmati keindahan laut, berburu dan rekreasi menangkap ikan. Di masa lalu, sebelum limpahan pelancong di sektor ini, pengunjung hanya didedahkan dengan kehidupan haiwan liar di zoo. Namun pada hari ini pelancong lebih berminat untuk melihat dan berinteraksi dengan haiwan liar di habitat mereka dan mengalami pengalaman lebih dekat dan rapat di habitat mereka yang sebenar (Shakley,1996).

            Di Sabah, terdapat beberapa tempat pelancongan hidupan liar termasuk Taman Buaya di Sandakan, Taman Pemuliharaan Orang Utan di Sepilok dan Taman Hidupan Liar di Tabin. Kajian ini mengkhususkan Taman Pemuliharaan Orang Utan, Sepilok sebagai kajian kes (Rujuk bab 4).  Pelancongan hidupan liar memberi peluang kepada para pelancong menikmati fauna dan flora daratan, laut atau air, di udara serta memperolehi pengetahuan lanjut berkenaan spesies haiwan-haiwan tersebut (memerhati terhadap orang utan, buaya, gajah, kucing hutan, kera dan monyet serta jenis-jenis burung yang pelbagai). Memerhati habitat serta hidupan liar dengan rasa tanggungjawab adalah penting bagi memastikan tiada atau kurang gangguan dialami oleh hidupan liar dan habitatnya.

Contoh gangguan tersebut adalah aktiviti mengambil gambar oleh pelancong.  Kebanyakan pelancong akan mengambil gambar haiwan yang diperhati sebagai tanda kenangan dan koleksi peribadi masing-masing. Aktiviti ini tidak akan dapat lari dari wujudnya interaksi antara pengunjung dengan haiwan.  Tambahan pula dengan kepelbagaian inovasi ICT serta perlumbaan dokumentasi hidupan liar, menjadikan amalan berinteraksi dengan haiwan dalam bentuk mengambil gambar, filem dan interaksi sentuhan atau memberi makan satu kewajipan yang akan dilakukan oleh pelancong semasa membuat lawatan memerhati hidupan liar. Selain itu, haiwan liar juga banyak menerimagangguan daripada pelancongan berasaskan kegunaan (consumptive tourism). Dalam pelancongan jenis ini,  pelancong melibatkan diri dalam aktiviti  berburu (pemilikan kekal) dan memancing semasa dalam percutian. Aktiviti pelancongan seperti ini turut diminati ramai. Namun begitu dalam satu kajian, aktiviti pelancongan ini semakin kurang mendapat sambutan (Lovelock, 2008). Dengan kesedaran etika dan mematuhi peraturan yang tinggi, pelancong dapat mengurangkan gangguan terhadap haiwan yang diperhati serta dalam masa yang sama dapat mengalami pengalaman yang sebenar bersama haiwan.

1.3     Perkembangan Pelancongan Hidupan Liar
 Model-model babun yang seksi
            Di seluruh dunia, aktiviti pelancongan hidupan liar mengalami pertumbuhan populariti yang pesat. Konsep memerhati hidupan liar dilihat dapat penyumbang kepada peningkatan ekonomi sesebuah negara. Menurut Fillion, Foley dan Jaquemot (1994)  dan Reynolds Paul C. dan Braithwaite Dick (2001), kedua-duanya menganggarkan di antara 40% hingga 60% pelancongan dunia adalah pelancongan alam semulajadi manakala 20%-40% adalah yang berkait dengan hidupan liar. Linberg (1997) menganggarkan sejumlah US30 juta pendapatan Amerika adalah hasil aktiviti pelancongan memerhati hidupan liar.  Alaska turut mencatat peningkatan jumlah pelancong dalam sektor memerhati hidupan liar di mana 46% daripada pengunjung telah terlibat dalam aktiviti tersebut (Roberts Michael, 2000).

            Pelancongan hidupan liar sepatutnya berusaha memberi sumbangan kepada komuniti setempat tetapi di masa yang sama mengelak dari menimbulkan masalah seperti gangguan terhadap hidupan liar serta populasinya. Gangguan alam sekitar kesan dari aktiviti pelancongan adalah berbeza berdasarkan jenis aktiviti pelancongan yang dilakukan. Kadang kala kesannya mudah dilihat tetapi ada juga yang sukar ditentukan. Oleh yang demikian, kesan gangguan alam sekitar ke atas seekor haiwan dalam persekitaran yang luas dan populasi haiwan lain mestilah diambil kira dan tidak boleh dipandang remeh. Dengan itu, aktiviti pemuliharaan amat perlu dalam industri pelancongan ini. Selain dari mendatangkan sumber kewangan, aktiviti pemuliharaan juga dapat mendidik pelancong dalam berinteraksi dengan hidupan liar.    

Aktiviti pelancongan memerhati hidupan liar sering terdapat dalam aktiviti pelancongan yang lain sama ada secara sengaja atau tidak disengajakan. Kadangkala aktiviti memerhati hidupan liar menjadi salah satu aktiviti sampingan pelancong seperti percutian dengan peluang memerhati atau melihat burung. Penyebab utama percutian tersebut adalah inginkan hiburan, tetapi apabila mereka telah mengalami pengalaman memerhati hidupan liar yang menarik, terurus dan sistematik, mereka bukan sahaja mendapat keseronokan dan kegembiraan malahan dapat juga belajar dan menambah pengetahuan tentang haiwan yang diperhati. Natijahnya pelancong kemudiannya kembali dengan azam dan kesungguhan bagi pemuliharaan haiwan liar tersebut.   Dengan demikian itu, wang yang digunakan bagi perbelanjaan perjalanan akan turut menjadi penyumbang kepada ekonomi tempatan, peluang pekerjaan dan perniagaan yang sememangnya bergantung kepada pemuliharaan bagi menjamin aktiviti tersebut terus kekal.

Industri pelancongan selalu menggunakan istilah “pelancongan hidupan liar” dari “pelancongan memerhati hidupan liar”. Namun demikian, keduanya adalah sama dan difahami. Sedikit perbezaan di sini adalah istilah pelancongan hidupan liar mungkin akan melibatkan  aktiviti seperti memburu hidupan liar atau menangkap ikan (pemilikan kekal) tetapi sebaliknya pelancongan memerhati hidupan liar hanya menghadkan aktivitinya kepada memerhati, menikmati dan menghargai hidupan liar walau mungkin akan wujud interaksi antara pengunjung dan haiwan yang diperhati. Terdapat dalam sesetengah keadaan para pengunjung boleh juga melihat atau menonton haiwan liar yang dikurung di sangkar atau tempat kurungan. Maka ianya tidaklah lagi tinggal dalam habitatnya yang sebenar (Higginbottom:2004).

1.4       Industri Pelancongan Hidupan Liar dan Usaha Pemuliharaan

Tiada statistik khusus bagi menggambarkan perkembangan industri memerhati hidupan liar dalam negara. Tetapi di seluruh dunia dapat disimpulkan perkembangan industr memerhati hidupan semakin berkembang. Perkhidmatan Perikanan dan Hidupan Liar Amerika telah sekian lama menjalankan kajian berkenaan perbelanjaan dan aktiviti pelancongan jenis ini. Setelah diteliti, hasil pendapatan negara Amerika pada tahun 2001 dari industri memerhati hidupan liar seluruh Amerika sahaja dapat memberi pulangan lumayan kepada pendapatan negara (Caudill dalam Higginbottom, 2004).

Dalam pelancongan memerhati hidupan liar, focus utama bagi menjaga kebajikan haiwan adalah menghadkan pelancong dari menghampiri hidupan liar. Kajian mendapati apabila arahan dikeluarkan, kebanyakan  pelancong berasa tidak selesa kerana tujuan mereka adalah mahu menghampiri haiwan sedekat yang boleh. Walau bagaimana pun dengan penerangan dan sokongan panduan yang jelas, pelancong mematuhi peraturan tersebut. Harris et.al (dalam Higginbottom,2004) mendapati seramai 49% pelawat di Pusch Ridge Wilderness, Arizona sanggup menghadkan aktiviti rekreasi mereka semata-mata untuk melindungi populasi biri-biri gunung yang menetap di kawasan tersebut. Kajian Frost dan McCool (dalam Higginbottom,2004) juga turut mendapati 90% pelancong memerhati aktiviti migrasi burung helang botak di Taman Negara Glacier yang diberi syarat yang pelbagai dalam aktiviti memerhati bersetuju pentingnya peraturan yang telah ditetapkan serta kewajaran untuk mematuhinya. Dari kajian di atas, wajarlah pusat pemuliharaan mengenakan peraturan yang sepatutnya tanpa bimbang akan kehilangan pengunjung.    

Pelancongan menjanjikan insentif terhadap usaha pemuliharaan dan sebagai salah satu sumber ekonomi setempat mahu pun negeri. Sebagai balasan, pihak pengurusan pusat pemuliharaan hidupan liar dapat memberi perkhidmatan yang memuaskan hati, perlindungan yang terjamin terhadap primat serta dapat memenuhi matlamat kedua-dua pihak sama ada pihak pengurusan mahu pun pelancong. Industri pelancongan adalah saling bergantung dengan usaha pemuliharaan bagi tujuan melindungi haiwan yang hampir pupus  serta dapat bersama-sama memberi pendidikan kepada pelancong (kesedaran cintakan hidupan liar) dan primat (kelangsungan hidup di hutan) mengikut peranan masing-masing. Justeru, idea melancong sambil memerhati hidupan liar serta usaha pemuliharaan adalah releven berjalan serentak bagi menjamin pengekalan usaha tersebut. Interaksi antara komponen pelancong hidupan liar dapat difahami seperti dalam rajah yang telah diperkenalkan oleh Higginbottom (2004) berikut:-
Memerhati hidupan liar dari jarak dekat di alam semulajadi menjadi satu kunci bagi menentukan kepuasan pelawat bagi jenis pelancongan bukan kegunaan (Moscardo dan Saltzer, 2005).  Selain itu, dengan memerhati dan dapat mengenal hidupan liar dari jarak dekat, pengunjung dapat mempelajari sesuatu tentang hidupan liar tersebut. Terdapat harapan bahawa bidang pelancongan dapat memainkan peranan menanamkan sifat kesedaran kepada pengunjung akan pentingnya menjaga dan mengekalkan keindahan alam semula jadi. Dengan itu, peluang memerhati hidupan liar dari jarak dekat digunakan juga oleh pengurus pelancongan bagi mendidik dan menyemai rasa kesedaran pengunjung untuk mencintai hidupan liar dan alam semulajadi. Ini telah menjadi satu matlamat dalam pelancongan (Martin & Mason, 1987).


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...