Followers

Wednesday, December 28, 2011

PERUBAHAN DAN PEMBANGUNAN ORGANISASI



Pengenalan

Perubahan organisasi ialah satu keadaan di mana struktur, teknologi dan manusia dalam organisasi bertukar bentuk. Konsep perubahan dalam organisasi merangkumi perubahan yang kecil sehingga ke keseluruhan organisasi. Pendek kata perubahan organisasi ialah proses transformasi dalam organisasi. Dalam konteks ini, proses tersebut merujuk kepada asas perombakan pengoperasian sesuatu organisasi (McNamara, 1999).


Oleh kerana perubahan selalu terjadi dan pasti akan selalu terjadi, pimpinan organisasi di samping harus memiliki kepekaan terhadap perubahan-perubahan yang terjadi di luar organisasi yang dipimpinnya dan mampu memperhitungkan dan mengakomodasikan dampak daripada perubahan-perubahan yang terjadi itu, mutlak perlu pula untuk mempunyai keterampilan dan keberanian untuk melakukan perubahan di dalam organisasi demi peningkatan kemampuan organisasional untuk mencapai tujuan yang telah ditetapkan.


Menurut Zainal Ariffin (1998), terdapat tiga jenis daya yang menyebabkan kepada perubahan dalam organisasi iaitu daya luaran, daya dalaman dan daya pengurus sebagai pemangkin perubahan. Daya luaran sering mewujudkan keperluan untuk sesuatu organisasi berubah dari pelbagai sumber. Daya luaran yang dimaksudkan di sini termasuk pasaran pengguna, teknologi yang selalu berkembang, pasaran tenaga buruh, perubahan pasaran ekonomi dan undang-undang serta perlembagaan negara.


Daya dalaman pula merujuk kepada faktor-faktor perubahan organisasi seperti pengubahsuaian strategi organisasi, teknologi dan peralatan yang digunakan untuk penghasilan dan sikap pekerja. Proses perubahan memerlukan suatu pemangkin. Dalam organisasi peranan pemangkin dibawa oleh pengurus. Selain itu watak tersebut juga boleh dimainkan oleh pekerja pakar dan konsultan yang diupah dari luar. Walau bagaimanapun, pengurus ialah watak penting dalam pemangkinan sesuatu perubahan. Ini kerana, beliau adalah orang yang membuat keputusan dan penentu segala aktiviti dalam organisasi.


Konsep Organisasi


Kamus Dewan (1994) memberi erti "organisasi" sebagai "kesatuan yang terdiri daripada bahagian atau golongan yang tersusun dalam sesuatu pertubuhan", "pertubuhan" dan "perbadanan". Dalam kajian pengurusan terdapat pelbagai takrifan istilah "organisasi", Weber (1948) mentakrifkan "organisasi" sebagai "perhubungan sosial yang menghad atau menutup kemasukan orang luar dengan mengadakan peraturan". Lima elemen penting timbul daripada takrifan ini:
           
 
(a) Kewujudan perhubungan sosial, pada mana ahlinya berinteraksi secara
      rasional dan aktif.
(b) Terdapat hierarki kuasa dan pembahagian tugas.
(c) Terdapat sempadan yang memasukkan sebahagian populasi dan memisahkan
      yang lain.
(d) Proses interaksi yang sokong menyokong dan tidak communal.
(e) Organisasi terlibat dengan aktiviti yang bermatlamat tertentu.
               

Litterer (1975) mentakrifkan organisasi sebagai "satu rekaan atau alat yang dibangunkan oleh manusia untuk mencapai sesuatu, yang tanpa kewujudannya tidak mungkin. Rekaan sosial ini mengambil masuk pelbagai sumber manusia, pengetahuan dan bahan, dan memberikan mereka susunan dan sistem untuk mengeluarkan sesuatu yang bersepadu". Takrifan ini mengandungi unsur berikut:
           

(a) Organisasi dianggap sebagai satu sistem.
(b) Organisasi melibatkan perhubungan sosial.
(c) Organisasi merupakan alat untuk memenuhi keperluan masyarakat.
(d) Organisasi mempunyai sempadan.
(e) Organisasi mempunyai struktur.
(f) Interaksi dalam organisasi adalah associative dan bukan communal.
(g) Yang ditekankan ialah individu dan kebolehan mereka.
               

Takrifan di atas mengikut perspektif yang menganggap organisasi sebagai sistem tertutup. Taylor, pengasas Pengurusan Saintifik menganggap matlamat organisasi sebagai diketahui atau diberikan tugasnya rutin, dan inputnya mudah diperoleh dan tidak terhad. Taylor menyatakan bahawa kriteria terakhir untuk prestasi organisasi ialah efisiensi. Pengurusan tidak perlu mengambil berat faktor di luar organisasi.


             Hall (1977) berpendapat perkara seperti matlamat, sumber, peraturan dan tatacara organisasi tidak wujud dalam organisasi secara semula jadi. Sumber tersebut dibawa masuk dari luar. Matlamat mungkin diarahkan dari luar. Bagi Hall, perspektif sistem tertutup dengan mana organisasi tidak mempunyai pertukaran dengan persekitaran tidak dapat diterima.


             Kecaman yang paling hebat terhadap organisasi sebagai sistem tertutup diutarakan oleh Katz dan Kahn (1966). Mereka menyatakan perspektif ini tidak mengendahkan persekitaran yang memberi kesan kepada organisasi. Organisasi senantiasa bergantung pada input dari luar.


Pembangunan Organisasi


Clark (1994) menyatakan Pembangunan Organisasi (OD) merupakan suatu pengurusan sokongan atas ke bawah, usaha jangka masa panjang untuk memperbaiki proses pembaharuan dan penyelesaian masalah organisasi, terutamanya melalui diagnosis yang lebih efektif dan kerja sama serta penekanan yang lebih kepada kerjasama kumpulan yang formal, kumpulan sementara dan budaya antara kumpulan dengan bantuan seorang perunding – fasilitator serta penggunaan teori dan teknologi untuk sains kelakuan aplikasi (applied behavioural science), termasuk penyelidikan kelakuan.


Ia merupakan usaha dan program yang melibatkan individu dari semua tahap dan lapisan organisasi. Ia diimplimentasi oleh seorang ataupun satu kumpulan orang yang dikenali sebagai ejen pengubah (change agents). Agen pengubah tersebut merupakan pemangkin untuk perubahan dalam sesuatu organisasi. Dia merupakan pakar dalam bidang ini iaitu, untuk membaiki sistem pengoperasian sesuatu organisasi. Dia boleh merupakan salah seorang pekerja dalam organisasi tetapi biasanya dia diupah untuk mengimplementasikan program OD.


Ciri-Ciri Pembangunan Organisasi
 
Menurut Stewart (1991) ciri-ciri Pembangunan Organisasi (OD) adalah seperti berikut:
 
(a)    Sistematik

OD perlulah sistematik untuk menjadi efektif. Penulis beranggapan sekiranya perubahan yang akan dilaksanakan diterangkan dengan lebih terperinci kepada semua ahli masyarakat, mungkin kita akan lebih bersikap terbuka dan sedar akan kelebihan dan kekurangan perubahan yang dilaksanakan.


(b)   Jangka panjang

“Tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita harus sedar bahawa perubahan serta perlaksanaan ini adalah untuk kebaikan negara dan masa depan generasi akan datang”.

Di sini perubahan yang dilaksanakan terhadap organisasi pendidikan negara seharusnya di lihat untuk jangka masa yang panjang. Sekiranya penggunaan Bahasa Inggeris hanya disandarkan kepada kepentingan jangka pendek sahaja. Namun begitu, kita jangan melihat keberkesanannya dalam masa yang singkat kerana kebanyakan program OD adalah berlanjutan selama 12 bulan dan berkemungkinan sehingga 3 hingga 5 tahun. Sekiranya kita melihat  pencapaian penerapan Bahasa Inggeris kurang daripada jangka masa itu, ia semestinya tidak bersesuaian jika dibandingkan dengan keberkesanan program-program lain seperti 3M.


(c)    Sains kelakuan

Merujuk kepada psikologi, psikologi sosial, sosiologi, antropologi, sains politik dan sains sosial yang lain
termasuk kesemua cabang-cabangnya yang berbeza.

(d)   Keberkesanan

Dalam OD, organisasi yang efektif merupakan organisasi yang belajar dari pengalaman dan menyesuaikan diri dengan perubahan. Ia dilihat sebagai suatu keperluan untuk pembangunan dan pembaikan dengan cara yang lebih berkesan seperti kadar penggantian (turnover) dan keuntungan (profit). Sebagai contoh, keberkesanan 3M (membaca, menulis dan mengira) yang diperkenalkan negara dahulu merupakan sesuatu yang dibimbangi sekitar tahun 1980-an dahulu namun kini, ia merupakan asas kepada pembentukan pelajar yang berkualiti.


Faktor-Faktor Mempengaruhi Pembangunan Organisasi
           

Antara faktor yang dikenal pasti boleh mempengaruhi keberkesanan program yang pengajaran dalam Bahasa Inggeris ini adalah bergantung kepada perubahan tingkah laku pekerja terhadap pekerjaan mereka.  Sesebuah institusi pendidikan terdiri daripada pekerja dari pelbagai lapisan, daripada peringkat  bawahan seperti pelajar kepada kakitangan yang berpangkat tinggi seperti guru besar dan sebagainya. 


Sumbangan setiap individu adalah penting dalam membangunkan  misi negara dan tidak harus disandarkan kepada guru matematik dan sains sahaja.  Oleh itu, jika para guru yang terlibat berasa tidak puas dengan situasi yang berlaku, adalah sukar bagi mereka bagi memperoleh tahap pekerjaan yang optimum dan ini sekaligus menjejaskan mutu dan kualiti pengajaran yang di ajar di dalam kelas. Ini mungkin berlaku sekiranya guru-guru merasa tertekan apabila segelintir besar daripada mereka masih kekok berbahasa Inggeris dengan fasih dan mungkin berasa malu semasa mengajar dengan keadaan yang demikian. 


            Selain daripada faktor dalaman, terdapat juga faktor luaran yang mempengaruhi pembangunan sesuatu organisasi.  Pembangunan serta pemindahan teknologi dalam era ini juga adalah penting.  Dengan perkembangan yang semakin pesat dan kerap dalam bidang teknologi, sesuatu organisasi juga haruslah mengadakan perubahan dan Pembangunan agar tidak ketinggalan dalam dunia yang kian berubah ini (Bennett, 1999).  Jika kita lihat senario yang berlaku sekarang, dengan perkembangan teknologi komputer yang semakin pesat, penerapan ke atasnya kurang dilaksanakan ke sekolah-sekolah luar bandar. Penggunaan komputer sedikit sebanyak dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dan mungkin kita tidak perlu hanya tertumpu kepada penggunaan Bahasa Inggeris semata-mata. Penerapan teknologi ini hendaklah ditekankan di semua peringkat sama ada peringkat atasan hinggalah kepada peringkat bawahan iaitu pelajar  agar sistem yang digunakan adalah sistematik.


            Kehendak pengguna juga perlu dititikberatkan.  Ini kerana dalam melaksanakan perubahan, pengguna iaitu individu yang terlibat dalam sistem pendidikan negara.


 Ada banyak faktor yang boleh menjejaskan pembelajaran pelajar di sekolah. Pada saya perkara yang paling utama ialah diri pelajar itu sendiri: Adakah mereka sanggup untuk menerima perubahan itu?
                                                                                                                        (Dr. Jamilah Mustafa, 2002)


            Perubahan yang dilaksanakan hendaklah sejajar dengan perubahan kehendak pasaran di mana kebanyakan institusi kerjaya sekarang amat memerlukan pekerja yang mampu menguasai bahasa Inggeris. Sesebuah organisasi haruslah peka terhadap keperluan serta kehendak umum (Robbins dan Coulter, 1999). Jika dilihat kepada institusi pendidikan luar bandar terutamanya, pencapaian mata pelajaran individu amat memuaskan namun gred yang rendah di dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris merendahkan gred keseluruhan sekolah-sekolah luar bandar. Jadi penulis merasakan perubahan ini adalah perlu berdasarkan kepada kepentingannya.


            Selain itu, program pengurusan baru harus diberi perhatian sekiranya perubahan ingin dilaksanakan.  Di dalam pengurusan baru ini, guru-guru yang terlibat secara langsung dan tidak langsung perlu mengetahui hala tuju masing-masing di dalam melaksanakan pendidikan baru.  Program-program pendedahan kepada Bahasa Inggeris standard perlu disebarkan kepada guru-guru yang kurang fasih berbahasa Inggeris dan program-program lain yang berkaitan. Dengan menerapkan pengetahuan baru kepada pekerja-pekerja dan kumpulan-kumpulan bekerja boleh membantu menaikkan semangat serta tahap pekerjaan mereka (Robbins dan Coulter, 1999). 
           

            Persaingan adalah motivasi yang terbaik dalam sebarang pembangunan.  Dalam sesuatu organisasi, persaingan yang sengit antara dua organisasi  yang berasingan seperti pendidikan swasta dan kerajaan perlu diberi perhatian. Sebagai contoh, sekiranya penerapan Bahasa Inggeris menjadi realiti, pelajar-pelajar yang dihasilkan menerusi kedua-dua bahagian tadi mungkin perlu bersaing dalam mendapatkan tempat di institusi pendidikan tinggi kerana hasil yang dikeluarkan kedua-duanya adalah terbaik dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.  Saingan yang sengit antara pelajar-pelajar seperti yang dinyatakan tadi turut membawa kepada perkembangan yang drastik kepada suatu organisasi.
 
Agen Perubahan

Menurut Robbins dan Coulter (1999), agen perubahan melibatkan perubahan yang meliputi empat kategori iaitu struktur, teknologi, persekitaran fizikal dan orang.


Perubahan Struktur


Agen-agen perubahan juga boleh memperkenalkan pengubahsuaian yang besar di dalam reka bentuk struktur sebenarnya. Ini mungkin termasuk peralihan daripada struktur yang ringkas kepada struktur yang berasaskan kumpulan atau membentuk struktur matriks.


Perubahan Teknologi


Kebanyakan perubahan yang berlaku adalah berkaitan dengan usaha-usaha yang dibuat ke arah perubahan teknologi. Perubahan teknologi pada hari ini melibatkan pengenalan kepada alat-alat baru, perkakasan, kaedah, automasi atau pengkomputeran.


Faktor-faktor persaingan atau inovasi di dalam pendidikan selalunya berhubung kait di dalam menghasilkan masyarakat yang berteknologi tinggi sejajar hasrat negara menuju negara yang maju dan berteknologi tinggi pada tahun 2020 nanti. Perubahan teknologi yang hangat adalah perkembangan pengkomputeran. Melihat kepada sistem pengoperasian yang diguna pakai sekarang seperti Windows dan Linux, kedua-duanya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama kepada penggunanya. Sekiranya pelajar-pelajar tidak memahami bahasa Inggeris, mungkin mereka menguasai literasi komputer dengan baik. Namun jika pelajar didedahkan kepada penggunaan komputer sehari-hari, mungkin minat dan kefahaman terhadap Bahasa Inggeris ini akan wujud dengan sendirinya di dalam diri para pelajar kerana dengan memahami kaedah penggunaan komputer ia menguntungkan bukan hanya pelajar tetapi sektor pekerjaan yang memerlukan pekerja yang mahir menggunakan komputer.

 

Perubahan Persekitaran Fizikal

           

            Perubahan ke atas persekitaran sekolah juga seharusnya dilaksanakan di dalam membentuk persekitaran yang diperlukan. Antara contoh yang dapat diberikan adalah dengan mewujudkan suasana persekitaran Bahasa Inggeris. Persekitaran yang diwujudkan ini akan membantu dalam membuka minda pelajar terhadap kepentingan Bahasa Inggeris dan tidak hairan jika kita melihat pelajar menyambut baik perubahan dasar kerajaan jika pemupukan bahasa ini telah dilaksanakan terlebih dahulu.
 

 

Perubahan Orang

           

Perkara terakhir yang agen-agen perubahan perlu mengubah ialah menolong pelajar dan kumpulan di dalam institusi pendidikan untuk bekerjasama dengan lebih cekap. Secara ringkasnya konsep pembangunan organisasi merangkumi satu bentuk ikatan untuk mengubah orang lain dan kualiti serta sifat semula jadi terhadap perhubungan kerja mereka.

 
Tentangan Terhadap Perubahan


Tentangan terhadap perubahan semestinya timbul dalam cara yang piawai. Tentangan boleh berlaku secara terang-terangan, bersembunyi, segera ataupun tertunda. Adalah mudah untuk pengurusan mengatasi tentangan ini apabila ianya secara terang-terangan dan segera. Misalnya, satu perubahan yang dicadangkan dan pekerja dengan cepat memberikan tindak balas dengan menyuarakan ketidakpuasan, membuat kerja dengan perlahan, mengancam untuk berhenti atau seumpamanya. Cabaran yang paling besar ialah tentangan bersembunyi atau tertunda. Usaha untuk mengurus tentangan tersembunyi adalah tidak ketara dengan kehilangan kesetiaan kepada organisasi, kehilangan motivasi untuk bekerja, meningkatkan kadar ketidakhadiran dengan alasan ‘sakit’  kerana ia lebih sukar dikenal pasti. Sama juga tindakan yang lambat diambil akan mengukur perhubungan di antara tentangan dan reaksi terhadapnya.


Seterusnya adalah sumber-sumber halangan ini boleh dikategorikan kepada dua jenis yang utama iaitu sumber individu dan sumber organisasi (Robbins dan Coulter, 1999).

 
Tentangan Individu
             
Punca-punca penentangan individu adalah daripada sifat-sifat asas manusia seperti persepsi, keperibadian dan keperluan. Berikut meringkaskan lima sebab kenapa individu mungkin menentang perubahan.


(a)   Tabiat

“Apa yang berlaku ini memang lumrah. Apabila mereka telah selesa dengan apa yang diamalkan, mereka jadi bimbang. Mereka risau jika sesuatu yang baru diperkenalkan ia mungkin tidak mendatangkan kebaikan kepada mereka”
(Dr Chia Oai Peng, 2002)

Melihat kepada petikan di atas, pelajar umpamanya merupakan makhluk yang bertabiat. Kehidupan harian sudah cukup rumit dan mereka tidak perlu menilaikan semua kemungkinan bagi ratusan keputusan yang perlu dibuat seharian. Untuk menangani kerumitan ini, pelajar dan sesiapa sahaja bergantung pada tabiat atau tindak balas yang telah diprogramkan. Tetapi apabila menghadapi perubahan, kekerapan bertindak balas dalam cara yang kita biasa lakukan akan menjadi suatu punca untuk enggan berubah contohnya takut. Apabila dasar kerajaan diubah, pelajar mula rasa khuatir dan merasakan mata pelajaran yang selama ini sukar difahami akan lebih tidak difahami walhal perkara ini mungkin tidak akan berlaku.


(b)   Keselamatan

Mereka yang memerlukan keselamatan tinggi berkemungkinan besar menentang perubahan kerana ia mempunyai ancaman terhadap perasaan keselamatan mereka.


(c)    Faktor-faktor ekonomi

Selain itu, individu yang menentang dasar ini mungkin beranggapan mereka mungkin terjejas ekoran perubahan yang dijalankan. Sebagai contoh, pelajar Cina yang sejak kecil diterapkan dengan penggunaan Bahasa Inggeris merasakan perubahan dasar ini tidak menguntungkan mereka. Pencapaian akademik dan peluang pekerjaan mereka adalah baik dan pendidikan yang dijalankan selama ini adalah yang terbaik bagi mereka. Jadi perlukah perubahan ini dijalankan?.


(d)   Ketakutan pada yang tidak dikenali

Bagi pelajar Melayu terutamanya, perasaan takut kepada perubahan ini berlaku apabila pelajar-pelajar yang selama ini didedahkan sejak kecil berbahasa Melayu perlu memahami sesuatu yang dianggap ganjil. Mereka merasakan mereka mungkin akan lebih ketinggalan di dalam mengikuti pengajaran yang di ajar dan ini mewujudkan penentangan. Selain itu, ada sesetengah orang yang merasakan kita tidak seharusnya merubah dasar pendidikan kerana ini akan menjatuhkan maruah bahasa Melayu yang diguna pakai sebagai bahasa pengantar di pendidikan rendah, menengah dan tinggi.


(e)    Pemprosesan maklumat secara selektif

Bukan itu sahaja, pelajar dan individu yang terlibat membentuk jawapan kepada dasar kerajaan melalui persepsi mereka sendiri. Sekiranya faktor-faktor lain yang diterangkan di atas menjadi antara pendorong kepada pemilihan pengajaran dan pembelajaran di dalam Bahasa Malaysia. Pelajar dan individu bersalah kerana memproses maklumat secara pilihan, semata-mata untuk memastikan persepsi mereka tidak berubah. Mereka hanya mendengar apa yang mereka hendak dengar. Mereka mengabaikan maklumat yang bercanggah dengan yang telah mereka bentuk.

 Tentangan Organisasi
           

Organisasi secara semula jadi adalah konservatif. Mereka secara aktif menentang sebarang bentuk perubahan. Mereka tetap akan meneruskan apa yang dilakukan selama ini tanpa menghiraukan adakah mereka perlu berubah seperti yang kita lihat penentangan cauvinis Cina menerusi pertubuhan-pertubuhan Cina yang menentang dasar kerajaan. Fenomena ini jelas terbukti, di antaranya adalah enam punca tentangan organisasi untuk mengubah (Robbins dan Coulter, 1999).


a)        Inersia struktur

Organisasi merupakan mekanisme-mekanisme yang sedia ada untuk menghasilkan kestabilan. Mereka yang diambil bekerja oleh organisasi dipilih mengikut kesesuaian. Kemudian mereka akan dibentuk dan diarahkan untuk bersikap dalam cara-cara tertentu. Semasa sesebuah organisasi menghadapi perubahan, inersia struktur ini bertindak sebagai penghalang untuk mengekalkan kestabilan.


b)        Fokus perubahan yang terhad

Organisasi pendidikan terdiri daripada sebilangan subsistem yang saling bergantungan. Sekiranya hanya pendidikan sains dan matematik di ajar di dalam Bahasa Inggeris sedangkan mata pelajaran yang lain di ajar di dalam Bahasa Malaysia, kejanggalan akan timbul seperti yang berlaku di dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri. Ini kerana Bahasa Inggeris itu sendiri bukan sesuatu yang diguna pakai secara keseluruhan. Kenapa bahasa Inggeris ini tidak dilaksanakan kepada bahagian-bahagian lain? Kenapa guru-guru lain tidak perlu mengajar di dalam Bahasa Inggeris? Persoalan-persoalan seperti ini mempengaruhi persepsi dan fokus perubahan yang ingin dilaksanakan.


c)         Inersia kumpulan

Walaupun pelajar ingin mengubah sikap mereka, norma-norma kumpulan mungkin bertindak sebagai penghalang. Seperti yang kita tahu, pelajar mungkin inginkan perubahan pendidikan beralih kepada sesuatu yang menguntungkan mereka, namun jikalau ada sesetengah kumpulan yang mewakili mereka menentang, mereka akan tersepit di antara masalah tersebut.


d)        Ancaman pada kepakaran

Perubahan dalam corak organisasi mungkin mengancam kepakaran kumpulan-kumpulan terkhusus. Sebagai contoh, jika ada 10 orang guru pakar sains dan matematik, tidak semua daripada mereka mempunyai kefasihan menerangkan mata pelajaran yang diajar menggunakan Bahasa Inggeris. Status mereka mungkin terjejas hanya kerana perubahan yang dijalankan oleh kerajaan ini.


e)         Ancaman pada perhubungan-perhubungan kuasa yang terbina

Sebarang pengagihan semula kuasa membuat keputusan boleh mengancam perhubungan kuasa yang telah lama terbina dalam institusi pendidikan tersebut. Pengenalan kepada penglibatan dalam membuat keputusan atau kumpulan-kumpulan kerja yang diuruskan sendiri merupakan perubahan yang sering dianggap sebagai ancaman oleh guru-guru yang terlibat


f)          Ancaman pada pengagihan-pengagihan sumber yang terbina 

Kumpulan-kumpulan dalam organisasi yang mengawal sumber yang banyak sering menganggap perubahan sebagai ancaman seperti organisasi yang mengawal sektor ekonomi negara. Mereka cenderung berasa puas hati dengan cara yang sedia ada kerana ia merupakan yang terbaik bagi mereka. Mereka berasa terancam oleh perubahan yang mungkin mempengaruhi pengagihan masa depan.


Mengatasi Tentangan Untuk Berubah

 Memandangkan wujudnya tentangan sama ada dari individu mahupun organisasi, maka satu cara yang berkesan mesti disediakan supaya tentangan-tentangan tidak terus berlaku. Menurut Robbins dan Coulter (1999), di antara enam taktik yang boleh digunakan oleh agen-agen perubahan untuk menangani keengganan untuk berubah.


a)        Pendidikan dan motivasi

Tentangan boleh dikurangkan melalui komunikasi dengan individu yang terlibat di dalam institusi pendidikan untuk menolong mereka melihat logik perubahan. Taktik yang pada asasnya menganggap punca keengganan terletak pada komunikasi yang lemah dan pemberian maklumat yang silap. Jika pelajar-pelajar, guru dan masyarakat menerima fakta yang penuh dan menyelesaikan ketidak sefahaman tersebut, komunikasi boleh dicapai melalui perbincangan secara perseorangan, memo, persembahan berkumpulan atau laporan.


b)        Penglibatan

Adalah sukar bagi manusia untuk tidak menerima keputusan untuk berubah sekiranya mereka terlibat secara langsung. Sebelum melakukan perubahan tersebut, mereka yang membantah boleh dibawa bersama dalam proses membuat keputusan. Andaikan mereka yang terlibat mempunyai kepakaran untuk menyumbang secara bermakna, penglibatan mereka boleh mengurangkan keengganan mendapat komitmen dan meningkatkan kualiti keputusan.


c)         Kelengkapan dan sokongan

Agen-agen perubahan boleh menawarkan suatu rangkaian usaha-usaha sokongan untuk mengurangkan keengganan. Apabila pelajar umpamanya takut dan risau, kursus-kursus brainstroming adalah antara langkah yang sewajarnya dilaksanakan dan mungkin juga melaksanakan perubahan peringkat demi peringkat. Mungkin dengan menggunakan 20% Bahasa Inggeris 80% Bahasa Malaysia dan sehinggalah kepada tahap 100% Bahasa Inggeris.


d)        Perundingan

Satu lagi taktik bagi agen–agen perubahan menangani tentangan untuk berubah ialah menukar suatu yang bernilai sehingga mengurangkan keengganan itu. Contohnya, jika tentangan itu tertumpu pada beberapa individu yang berkuasa, satu pakej penghargaan yang tertentu boleh dirundingkan yang akan menepati kehendak individu mereka. Rundingan sebagai suatu kaedah bagi suatu punca yang berkuasa besar.


e)         Manipulasi

Manipulasi merujuk kepada percubaan menukar pengaruh. Pemesongan fakta untuk menjadikannya lebih menarik tanpa mengandungi maklumat yang tidak diingini dan membuat khabar angin yang palsu untuk mendapatkan persetujuan individu seperti pelajar dan badan-badan luar adalah contoh manipulasi. Kooptasi pula berbentuk manipulasi dan penglibatan. Ia cuba menghasut ketua-ketua kumpulan yang menentang dengan memberi mereka tugas utama dalam membuat keputusan perubahan. Kedua-dua manipulasi dan kooptasi secara relatifnya tidak mahal dan merupakan cara yang mudah untuk memperoleh sokongan daripada pihak pembangkang, tetapi taktik ini boleh gagal jika sasaran sedar bahawa mereka tertipu atau diperalatkan.


f)          Paksaan

Taktik terakhir ialah penyalahgunaan kuasa oleh pihak atasan seperti kerajaan menggunakan kuasa eksekutif secara langsung atau kuasa ke atas mereka yang enggan berubah. Langkah ini merupakan langkah terakhir yang mungkin dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya masih wujud penentangan daripada pertubuhan-pertubuhan Cina seperti dari Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Malaysia dan Persatuan Guru Sekolah Cina.

 Strategi Untuk Mengurus Perubahan Organisasi


Model Tiga Langkah Lewin merupakan kaedah yang popular untuk menangani perubahan dalam organisasi.


“Perubahan yang berjaya dalam organisasi seharusnya mengikut tiga langkah: mencairkan status semasa, peralihan ke situasi baru dan membekukan semula perubahan baru untuk menjadikannya tetap,”  Kurt Lewin.
(Robbins dan Coulter, 1999)  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...