Pelancongan Hidupan Liar
1.1
Pelancongan Berasaskan Alam Semulajadi
Pelancongan hidupan liar adalah pelancongan berkait dengan flora
dan fauna di alam semulajadi. Dalam
membincangkan tentang Pelancongan Hidupan Liar, ianya tidak akan lari dari
membincangkan tentang Pelancongan Alam Semulajadi. Istilah “Pelancongan Semulajadi”
jarang digunakan oleh pelancong. Ia bukanlah sejenis bentuk pelancongan tetapi
lebih kepada satu istilah nilai yang dapat dilihat melalui keinginan,
pengalaman dan aktiviti para pelancong. Istilah “semulajadi” dalam pelancongan
secara amnya melibatkan pengalaman di tempat-tempat semulajadi, selalunya
melibatkan aktiviti luar yang kekal dari segi kesannya terhadap persekitaran.
Ini boleh dikelaskan dari aktiviti pelancongan pasif seperti berjalan menikmati
pemandangan hutan atau pelancongan yang bersifat pengalaman pengembaraan
sehinggalah kepada pelancongan yang berbentuk memerhati, memandu sambil
menikmati pemandangan, menikmati pemandangan di pantai dan memerhati hidupan liar.
Selalunya jenis pelancongan ini menggabungkan beberapa aktiviti pelancongan
kepada satu pakej pelancongan (Higginbottom,2004).
Bagi penggemar sukan luar, terdapat banyak aktiviti pengembaraan
lasak berasaskan alam semulajadi atau persekitaran semulajadi. Peranan alam
semulajadi sebagai pusat pelancongan berbeza mengikut kegemaran dan
kecenderungan pelancong, sama ada seseorang itu dari jenis pelancong pasif atau pun pelancong aktif.
Pelancongan berasaskan alam semulajadi akan lebih menarik jika disertai dengan
elemen-elemen tambahan seperti makanan sesuatu tempat, budaya, ketenangan
tempat tersebut, kesihatan, keperluan keluarga, kemudahan, kenderaan dan
sebagainya. Kesemua ini menjadi asas keperluan bagi memastikan pelancong berpuas
hati dalam satu- satu pakej percutian. Terdapat pelbagai jenis pelancongan
berasaskan alam semulajadi seperti eko pelancongan, pelancongan berasaskan
pengembaraan lembut dan lasak, pelancongan berasaskan kegemaran tertentu,
pelancongan hidupan liar dan pelancongan lestari (sustainable).
1.2
Definisi Pelancongan Hidupan Liar
Hidupan Liar adalah istilah umum meliputi flora dan fauna. Dalam
penggunaan popularnya, hidupan liar merujuk kepada haiwan dalam persekitaran
liar. Kebiasaan gambaran klasik istilah “hidupan liar” selalunya merujuk kepada
sekumpulan haiwan atau burung. Akan tetapi istilah “hidupan liar” sebenarnya meliputi
semua jenis haiwan, termasuk serangga hinggalah
hidupan laut. “Memerhati hidupan liar” adalah apa sahaja aktiviti yang
melibatkan seseorang pelancong memerhati hidupan liar. Ianya biasa digunakan
bagi aktiviti “melihat atau memerhati” haiwan. Aktiviti inilah yang
membezakannya dengan aktiviti pelancongan berasaskan hidupan liar yang lain (Fredline Elizabeth dan Faulkner Bill,
2001). Contohnya mereka yang terlibat dalam aktiviti memancing atau
memburu haiwan liar mempunyai kaitan dengan haiwan yang diburu atau
dipancing. Sebaliknya, aktiviti
memerhati pula tidak melibatkan interaksi pelancong secara aktif dengan haiwan yang
diperhati. Manakala istilah “pelancongan hidupan liar” pula adalah satu bidang
pelancongan yang tersusun dan diurus bagi membolehkan haiwan ditonton atau
dilihat.
Pelancongan hidupan liar mengalami
perkembangan pesat selepas Perang Dunia Kedua. Hidupan liar boleh dilihat di
taman-taman negara atau dalam bentuk dikurung, di tanah-tanah kerajaan mahu pun
persendirian. Pelancongan Hidupan Liar melibatkan satu pengalaman memerhati
hidupan liar dalam persekitarannya yang semulajadi serta di habitat asalnya.
Pelancongan jenis ini mendapat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri. Ia
turut melibatkan haiwan liar dan bukan peliharaan serta meliputi persekitaran
haiwan yang bebas atau terkurung (Pelancongan New South Wales, 2008). Pusat
Kajian Kerjasama (The Cooperative Research Centre) Pelancongan Lestari,
Australia mendefinisikan pelancongan hidupan liar seperti berikut; “pelancongan
yang melibatkan pertembungan antara
haiwan bukan peliharaan yang bebas atau dalam kurungan. Ini termasuk aktiviti
pelancongan pelbagai seperti memerhati burung, memerhati paus, memerhati
hidupan liar secara umum, mengunjungi zoo dan akuarium, menyelam sambil menikmati
keindahan laut, berburu dan rekreasi menangkap ikan. Di masa lalu, sebelum
limpahan pelancong di sektor ini, pengunjung hanya didedahkan dengan kehidupan
haiwan liar di zoo. Namun pada hari ini pelancong lebih berminat untuk melihat
dan berinteraksi dengan haiwan liar di habitat mereka dan mengalami pengalaman
lebih dekat dan rapat di habitat mereka yang sebenar (Shakley,1996).
Di Sabah, terdapat beberapa tempat pelancongan
hidupan liar termasuk Taman Buaya di Sandakan, Taman Pemuliharaan Orang Utan di
Sepilok dan Taman Hidupan Liar di Tabin. Kajian ini mengkhususkan Taman
Pemuliharaan Orang Utan, Sepilok sebagai kajian kes (Rujuk bab 4). Pelancongan hidupan liar memberi peluang
kepada para pelancong menikmati fauna dan flora daratan, laut atau air, di
udara serta memperolehi pengetahuan lanjut berkenaan spesies haiwan-haiwan
tersebut (memerhati terhadap orang utan, buaya, gajah, kucing hutan, kera dan
monyet serta jenis-jenis burung yang pelbagai). Memerhati habitat serta hidupan
liar dengan rasa tanggungjawab adalah penting bagi memastikan tiada atau kurang
gangguan dialami oleh hidupan liar dan habitatnya.
Contoh gangguan tersebut adalah aktiviti mengambil gambar oleh
pelancong. Kebanyakan pelancong akan
mengambil gambar haiwan yang diperhati sebagai tanda kenangan dan koleksi
peribadi masing-masing. Aktiviti ini tidak akan dapat lari dari wujudnya
interaksi antara pengunjung dengan haiwan. Tambahan pula dengan kepelbagaian inovasi ICT
serta perlumbaan dokumentasi hidupan liar, menjadikan amalan berinteraksi
dengan haiwan dalam bentuk mengambil gambar, filem dan interaksi sentuhan atau
memberi makan satu kewajipan yang akan dilakukan oleh pelancong semasa membuat
lawatan memerhati hidupan liar. Selain itu, haiwan liar juga banyak menerimagangguan
daripada pelancongan berasaskan kegunaan (consumptive tourism). Dalam
pelancongan jenis ini, pelancong melibatkan
diri dalam aktiviti berburu (pemilikan
kekal) dan memancing semasa dalam percutian. Aktiviti pelancongan seperti ini
turut diminati ramai. Namun begitu dalam satu kajian, aktiviti pelancongan ini
semakin kurang mendapat sambutan (Lovelock, 2008). Dengan kesedaran etika dan
mematuhi peraturan yang tinggi, pelancong dapat mengurangkan gangguan terhadap
haiwan yang diperhati serta dalam masa yang sama dapat mengalami pengalaman
yang sebenar bersama haiwan.
1.3
Perkembangan Pelancongan
Hidupan Liar
Di seluruh dunia, aktiviti
pelancongan hidupan liar mengalami pertumbuhan populariti yang pesat. Konsep memerhati
hidupan liar dilihat dapat penyumbang kepada peningkatan ekonomi sesebuah negara.
Menurut Fillion, Foley dan Jaquemot (1994)
dan Reynolds Paul C. dan Braithwaite Dick (2001), kedua-duanya
menganggarkan di antara 40% hingga 60% pelancongan dunia adalah pelancongan
alam semulajadi manakala 20%-40% adalah yang berkait dengan hidupan liar. Linberg
(1997) menganggarkan sejumlah US30 juta pendapatan Amerika adalah hasil aktiviti
pelancongan memerhati hidupan liar. Alaska turut mencatat peningkatan jumlah
pelancong dalam sektor memerhati hidupan liar di mana 46% daripada pengunjung
telah terlibat dalam aktiviti tersebut (Roberts Michael, 2000).
Pelancongan hidupan liar sepatutnya
berusaha memberi sumbangan kepada komuniti setempat tetapi di masa yang sama
mengelak dari menimbulkan masalah seperti gangguan terhadap hidupan liar serta
populasinya. Gangguan alam sekitar kesan dari aktiviti pelancongan adalah
berbeza berdasarkan jenis aktiviti pelancongan yang dilakukan. Kadang kala
kesannya mudah dilihat tetapi ada juga yang sukar ditentukan. Oleh yang
demikian, kesan gangguan alam sekitar ke atas seekor haiwan dalam persekitaran
yang luas dan populasi haiwan lain mestilah diambil kira dan tidak boleh dipandang
remeh. Dengan itu, aktiviti pemuliharaan amat perlu dalam industri pelancongan
ini. Selain dari mendatangkan sumber kewangan, aktiviti pemuliharaan juga dapat
mendidik pelancong dalam berinteraksi dengan hidupan liar.
Aktiviti pelancongan memerhati hidupan liar sering terdapat dalam
aktiviti pelancongan yang lain sama ada secara sengaja atau tidak disengajakan.
Kadangkala aktiviti memerhati hidupan liar menjadi salah satu aktiviti
sampingan pelancong seperti percutian dengan peluang memerhati atau melihat
burung. Penyebab utama percutian tersebut adalah inginkan hiburan, tetapi
apabila mereka telah mengalami pengalaman memerhati hidupan liar yang menarik,
terurus dan sistematik, mereka bukan sahaja mendapat keseronokan dan
kegembiraan malahan dapat juga belajar dan menambah pengetahuan tentang haiwan
yang diperhati. Natijahnya pelancong kemudiannya kembali dengan azam dan
kesungguhan bagi pemuliharaan haiwan liar tersebut. Dengan demikian itu, wang yang digunakan
bagi perbelanjaan perjalanan akan turut menjadi penyumbang kepada ekonomi
tempatan, peluang pekerjaan dan perniagaan yang sememangnya bergantung kepada
pemuliharaan bagi menjamin aktiviti tersebut terus kekal.
Industri pelancongan selalu menggunakan istilah “pelancongan
hidupan liar” dari “pelancongan memerhati hidupan liar”. Namun demikian,
keduanya adalah sama dan difahami. Sedikit perbezaan di sini adalah istilah pelancongan
hidupan liar mungkin akan melibatkan aktiviti
seperti memburu hidupan liar atau menangkap ikan (pemilikan kekal) tetapi
sebaliknya pelancongan memerhati hidupan liar hanya menghadkan aktivitinya kepada
memerhati, menikmati dan menghargai hidupan liar walau mungkin akan wujud
interaksi antara pengunjung dan haiwan yang diperhati. Terdapat dalam
sesetengah keadaan para pengunjung boleh juga melihat atau menonton haiwan liar
yang dikurung di sangkar atau tempat kurungan. Maka ianya tidaklah lagi tinggal
dalam habitatnya yang sebenar (Higginbottom:2004).
1.4 Industri
Pelancongan Hidupan Liar dan Usaha Pemuliharaan
Tiada statistik
khusus bagi menggambarkan perkembangan industri memerhati hidupan liar dalam
negara. Tetapi di seluruh dunia dapat disimpulkan perkembangan industr
memerhati hidupan semakin berkembang. Perkhidmatan Perikanan dan Hidupan Liar
Amerika telah sekian lama menjalankan kajian berkenaan perbelanjaan dan
aktiviti pelancongan jenis ini. Setelah diteliti, hasil pendapatan negara
Amerika pada tahun 2001 dari industri memerhati hidupan liar seluruh Amerika
sahaja dapat memberi pulangan lumayan kepada pendapatan negara (Caudill dalam
Higginbottom, 2004).
Dalam pelancongan
memerhati hidupan liar, focus utama bagi menjaga kebajikan haiwan adalah menghadkan
pelancong dari menghampiri hidupan liar. Kajian mendapati apabila arahan
dikeluarkan, kebanyakan pelancong berasa
tidak selesa kerana tujuan mereka adalah mahu menghampiri haiwan sedekat yang
boleh. Walau bagaimana pun dengan penerangan dan sokongan panduan yang jelas,
pelancong mematuhi peraturan tersebut. Harris et.al (dalam Higginbottom,2004)
mendapati seramai 49% pelawat di Pusch Ridge Wilderness, Arizona sanggup
menghadkan aktiviti rekreasi mereka semata-mata untuk melindungi populasi
biri-biri gunung yang menetap di kawasan tersebut. Kajian Frost dan McCool
(dalam Higginbottom,2004) juga turut mendapati 90% pelancong memerhati aktiviti
migrasi burung helang botak di Taman Negara Glacier yang diberi syarat yang
pelbagai dalam aktiviti memerhati bersetuju pentingnya peraturan yang telah
ditetapkan serta kewajaran untuk mematuhinya. Dari kajian di atas, wajarlah
pusat pemuliharaan mengenakan peraturan yang sepatutnya tanpa bimbang akan
kehilangan pengunjung.
Pelancongan
menjanjikan insentif terhadap usaha pemuliharaan dan sebagai salah satu sumber
ekonomi setempat mahu pun negeri. Sebagai balasan, pihak pengurusan pusat
pemuliharaan hidupan liar dapat memberi perkhidmatan yang memuaskan hati,
perlindungan yang terjamin terhadap primat serta dapat memenuhi matlamat
kedua-dua pihak sama ada pihak pengurusan mahu pun pelancong. Industri
pelancongan adalah saling bergantung dengan usaha pemuliharaan bagi tujuan melindungi
haiwan yang hampir pupus serta dapat
bersama-sama memberi pendidikan kepada pelancong (kesedaran cintakan hidupan
liar) dan primat (kelangsungan hidup di hutan) mengikut peranan masing-masing.
Justeru, idea melancong sambil memerhati hidupan liar serta usaha pemuliharaan
adalah releven berjalan serentak bagi menjamin pengekalan usaha tersebut.
Interaksi antara komponen pelancong hidupan liar dapat difahami seperti dalam
rajah yang telah diperkenalkan oleh Higginbottom (2004) berikut:-
Memerhati hidupan liar dari jarak dekat di alam semulajadi menjadi
satu kunci bagi menentukan kepuasan pelawat bagi jenis pelancongan bukan
kegunaan (Moscardo dan Saltzer, 2005).
Selain itu, dengan memerhati dan dapat mengenal hidupan liar dari jarak
dekat, pengunjung dapat mempelajari sesuatu tentang hidupan liar tersebut.
Terdapat harapan bahawa bidang pelancongan dapat memainkan peranan menanamkan
sifat kesedaran kepada pengunjung akan pentingnya menjaga dan mengekalkan
keindahan alam semula jadi. Dengan itu, peluang memerhati hidupan liar dari
jarak dekat digunakan juga oleh pengurus pelancongan bagi mendidik dan menyemai
rasa kesedaran pengunjung untuk mencintai hidupan liar dan alam semulajadi. Ini
telah menjadi satu matlamat dalam pelancongan (Martin & Mason, 1987).