Followers

Wednesday, October 19, 2011

Sekolah Berkesan


PENGENALAN

1.1       Pendahuluan

       Memang tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan sesebuah organisasi, sama ada organisasi firma ataupun sekolah, terletak kepada kepimpinan pengurusnya atau pengetuanya.  Di negara barat, kepimpinan merupakan bidang atau tajuk yang amat banyak dikaji oleh penyelidik dalam bidang sosial.  Kajian dalam bidang kepimpinan pelajaran amat banyak tertumpu pada peringkat kepimpianan di sekolah.  Ini disebabkan peringkat inilah yang dikatakan sebagai peringkat yang paling penting dalam apa juga sistem pendidikan.  Perkara yang menjadi fokus kajian kepimpinan di peringkat sekolah ialah kepimpianan pengetua dan maklumat tentang hal ini banyak terdapat dalam kajian dan penulisan sekolah berkesan.

            Dalam kajian dan penulisan tentang sekolah berkesan, tidak terdapat satu jenis kepimpinanan yang dikatakan lebih baik daripada yang lain.  Walaupun begitu banyak saranan telah dibuat tentang kepimpinan cara demokrasi yang dikatakan lebih berkesan daripada kepimpinan secara laissez-faire, atau kepimpinan secara autokratik.  Mengikut gaya kepimpinan seperti ini, mereka yang terlibat dalam pelaksanaan perubahan atau mereka yang mendapat kesan daripada perubahan itu diberi peluang untuk berbincang dan membuat keputusan.

            Misalnya dalam pelaksanaan kurikulum baru di sekolah, pihak yang telibat dalam perubahan itu ialah guru dan pihak yang mendapat kesan daripada perubahan itu ialah pelajar.  Mengikut cara kepimpinan demokrasi kedua-dua pihak, iaitu guru dan pelajar juga terlibat dalam perancangan dan membuat keputusan tentang pelaksanaan kurikulum itu.  Cara begini boleh menimbulkan semangat kesanggupan untuk bekerjasama dan dapat memberi kepuasan kepada mereka dalam melaksanakan sesuatu program. 

            Walau bagaimanapun, kepimpinan pengetua yang berkesan bukan bererti kepimpinan yang berjaya mendorong stafnya membuat perubahan semata-mata, tetapi juga merupakan kepimpinan yang berjaya menyelesaikan masalah secara kolektif atau beramai-ramai (Hussein, 1992 : 106).

1.2       Definisi Keberkesanan Sekolah

            Secara keseluruhan, tidak terdapat kata sepakat di kalangan pengkaji tentang definisi keberkesanan.  Secara umum terdapat dua kriteria yang digunakan iaitu outcome atau output dan proses.  Di Amerika Syarikat kebanyakan pengkaji mengukur keberkesanan  sekolah  bersaskan  output,  iaitu pencapaian  dalam  ujian piawaian bagi mata   pelajaran  matematik  dan  bacaan.  Di  United Kingdom  pemboleh  ubah  proses seperti kedatangan, kelakuan pelajar dan peningkatan skor pencapaian digunakan sebagai pengukur keberkesanan.  Selain mengukur keberkesanan dari segi kualiti ada juga pengkaji yang menggunakan kriteria kesaksamaan (equity).

            Menurut Edmonds (dalam Sharifah, 2000 : 7), mendefinisikan keberkesanan bukan sahaja dari segi kualiti hasil tetapi juga dari segi kesaksamaan (equity).  Mengikut beliau keberkesanan sekolah diukur berdasarkan kejayaan meningkatkan penguasaan akademik kanak-kanak kurang beruntung sehinggalah kadar bilangan kanak-kanak kurang beruntung yang mengusai akademik sama seperti bilangan kanak-kanak kelas menengah yang menguasainya.


            Rowan (dalam Sharifah, 2000 : 7), pula menyarankan empat cara mengenalpasti sekolah yang berkesan iaitu; (1) menentukan kriteria yang khusus seperti peratus pelajar yang mencapai lebih daripada median kebangsaan, (2) analisa trend yang menunjukkan skor dalam gred yang tertentu telah meningkat dari semasa ke semasa, (3) skor yang meningkat bagi sesuatu cohort dan (4) pencapaian sekolah berbanding dengan latar belakang pelajarnya.

            Mortimore (1991), merumus bahawa sekolah berkesan adalah sekolah yang akademik pelajarnya meningkat lebih daripada apa yang diharapkan jika diambil kira latar belakang mereka.  Ini bermaksud jika sekolah luar bandar menunjukkan nilai tambahan prestasi akademik beserta  dengan usaha menyamaratakan peluang pendidikan dan pelajarnya mencapai lebih daripada apa yang diharapkan, maka sekolah ini boleh dianggap sebagai sekolah yang berkesan. Berbanding dengan sekolah berasrama penuh yang tidak menunjukkan nilai tambahan dan prestasi akademik pelajarnya sekadar hanya apa yang diharapkan, maka sekolah ini belum boleh di anggap berkesan.

            Berdasarkan definisi yang dikemukakan oleh para pengkaji keberkesanan sekolah, jelaslah bahawa kebanyakan daripada pengkaji mengganggap bahawa pencapaian akademik yang cemerlang merupakan pengukur kepada keberkesanan sekolah. Dengan erti kata lain, mereka berpendapat keberkesanan sekolah   itu    bergantung    semata-mata   kepada     kejayaan    dan    pencapaian  akademik  pelajar-pelajarnya serta peningkatan prestasi akademik melalui peperiksaan dari tahun ke tahun.

1.3       Persepsi Kementerian Pendidikan Malaysia Terhadap
            Keberkesanan Sekolah

            Pengertian keberkesanan mengikut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicerminkan melalui berbagai-bagai anugerah yang diberikan kepada sekolah pada peringkat negeri dan juga pada peringkat kebangsaan.  Ada anugerah diberi untuk aspek bukan akedemik pada peringkat negeri seperti ‘Sekolah Cantik’, ‘Sekolah Dalam Taman’, ‘Landskap Tercantik’ dan sebagainya.  Untuk pencapaian akademik pula ada sekolah menerima ‘Sijil Penghargaan PMR’, ‘Hadiah Kecemerlangan Matematik PMR dan sebagainya.  Pada peringkat Negeri anugerah paling berprestij ialah ‘Sekolah Harapan Negeri’ dan pada peringkat kebangsaan anugerah paling berprestij ialah ‘Sekolah Harapan Negara’ dan Anugerah Kualiti Kementerian Pendidikan (Sharifah, 200 :10)
            KPM mempunyai kriteria tertentu dalam memilih Sekolah Harapan Negara.  Setiap tahun Bahagian Sekolah KPM akan memilih sebuah sekolah rendah dan sekolah menengah di bandar dan sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di luar bandar sebagai Sekolah Harapan Negara.  Berdasarkan pengertian keberkesanan sekolah menurut pandangan KPM,  kriteria-kriteria tersebut dapat dirumuskan seperti berikut:

  • mementingkan outcome dari segi pencapaian akademik dalam peperiksaan umum (UPSR, PMR, SPM dan STPM)
  • mementingkan proses bagi mencapai kecemerlangan akademik
      - kerja rumah, tindakan pemulihan dan strategi pengajaran guru
  • mementingkan pengurusan dan pentadbiran sekolah
      - blue print, penyerapan pengajaran, jawatan kuasa kurikulum, pengurusan              masa dan pengurusan kewangan
  • mementingkan iklim sekolah
            - budaya sekolah, sikap yang positif di kalangan guru, hubungan pentadbir                           sekolah dengan guru, kerjasama di kalangan guru dan disiplin sekolah.
  • mementingkan penglibatan ibu bapa dalam PIBG.

            Pengertian keberkesanan sekolah yang digunakan oleh pihak KPM agak luas dan pelbagai.  Hampir semua kriteria yang digunakan oleh pengkaji dan masyarakat umum, guru, ibu bapa dan pelajar bagi mendefinisikan sekolah berkesan digunakan oleh pihak kementerian.  Pengertian sekolah berkesan ini nampaknya berlandaskan aspirasi yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020.  Jelaslah bahawa keberkesanan sekolah menurut KPM tidak semestinya diukur melalui pencapaian akademik yang cemerlang sahaja, tetapi juga dinilai melalui asek-aspek lain yang terdapat di sekolah.

1.4       Ciri-Ciri Sekolah Berkesan

            Kajian yang telah dijalankan tentang sekolah berkesan dilakukan melalui dua pendekatan iaitu; (i) model pengeluaran, iaitu dengan menganalisis hasil kognitif (prestssi akademik)  dan  (ii)  analisis  sekolah   berkesan  menerusi  kajian  kes.  Dalam tahun-tahun 1980, kajian ini telah menghasilkan beberapa ciri yang berkaitan dengan sekolah berkesan dan terdapat dua kategori ciri yang berkaitan dengan sekolah berkesan seperti.  Ciri-ciri tersebut ialah:

            (a)  Ciri-ciri organisasi
·         Kepimpinan pengetua yang bersungguh-sungguh (kepimpinan pengajaran)
·         Perkembangan staf di peringkat sekolah
·         Kestabilan staf
·         Masa pembelajaran yang maksimum
·         Pengiktirafan terhadap kejayaan akademik
·         Penglibatan peserta sokongan ibu bapa / komuniti
·         Pengurusan di peringkat sekolah
·         Sokongan daripada pihak daerah (PPD)
·         Organisasi aktiviti kurikulum

(b)  Ciri-ciri proses
·         Sekolah fokus kepada matlamat dan misi. Matlamat dan misi seharusnya jekas.
·         Iklim sekolah yang positif dan teratur. Keadaan sekolah yang tenteram dan berdisiplin
·         Pengharapan yang tinggi terhadap pencapaian pelajar dan prestasi guru
·         Sistem pengesanan kemajuan dan prestasi pelajar dan guru yang berkesan
·         Semanagt kerja berpasukan dan penuh bertanggungjawab
·         Penglibatan semua pihak di sekolah dalam aspek perancangan dan pelaksanaan
5

            Sammon dan rakan rakan (1995) pula menyenaraikan beberapa faktor yang mempengaruhi sekolah berkesan iaitu:

  • Kepimpinan yang profesional
    • Tegas dan mempunyai tujuan, pendekatan mengambil bahagian secara profesional dan terulung
  • Visi dan matlamat yang dikongsi
    • Tujuan yang sama, amalan yang konsisten, kesejawatan dan kolobrasi
  • Persekitaran pembelajaran
    • Persekitaran yang teratur dan persekitaran kerja yang menarik
  • Penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran
    • Masa belajar yang maksimum, penekanan kepada akademik dan penekanan kepada pencapaian
  • Jangkaan tinggi
    • Jangkaan yang tinggi daripada semua pihak dan memberi cabaran intelektual
  • Ganjaran positif
    • Tindak balas disiplin yang jelas dan adil
  • Memantau kemajuan pelajar
    • Memantau prestasi  prestasi pelajar dan sekolah
  • Hak dan tanggungjawab pelajar
    • Harga diri pelajar yang tinggi, bertanggungjawab mengawal kerja
  • Perancangan yang jelas tujuannya
    • Perancangan yang rapi, tujuan yang jelas, pelajaran yang berstruktur dan amalan yang sesuai
  • Organisasi pembelajaran
    • Kemajuan dan perkembangan staf di sekolah
  • Perkongsian sekolah dan rumah
    • Penglibatan ibu bapa dan komuniti


PERBINCANGAN


2.1       Pendahuluan

            Pengetua ialah orang yang ditugaskan untuk memimpin sekolah.  Dia bertanggunggjawab mengurus dan memastikan pentadbiran sekolah berjalan lancar.  Sebagai orang yang mengepalai sekolah, dalam dirinya terdapat ciri-ciri ketua dan orang tua.  Sebagai ketua, dia biasanya mempunyai ilmu atau pendidikan yang lebih baik daripada orang lain.  Dia membimbing stafnya, melaksanakan tugas yang diamanahkan dan sanggup berkorban kerananya.  Manakala sebagai orang tua pula, dia diibaratkan sebagai ahli falsafah kerana pengalaman mengajarnya dan cara dia berfikir.  Dia mempunyai kebijaksanaan lebih daripada orang lain dan menjadi tempat rujukan.

            Terdapat empat perkara pokok yang menjadi asas perkhidmatan pegetua iaitu falsafah, pendidikan, profesionalisme dan kepimpinan.  Falsafah adalah unsur yang terdapat pada orang tua.  Kepimpinan ada pada seorang ketua.  Manakala pendidikan dan profesionalisme wujud pada diri pengetua.  Untuk menjadi pengurus, pentadbir atau pemimpin yang baik, unsur-unsur pendidikan dan profesionalisme sahaja tidak memadai. Unsur-unsur falsafah dan kepimpinan perlu digabungkan bersama.  Apabila keempat-empatnya sebati, pengetua akan menjadi pemimpin pendidikan dan pemimpin sekolah yang baik. Pegetua yang mempunyai ciri-ciri inilah biasanya dihormati (Ibrahim Mamat, 2001 : 136).

2.2       Peranan Pengetua Ke arah Pembentukan Sekolah Berkesan

            Memang telah dikenalpasti bahawa peranan kepimpinan adalah penting untuk mewujudkan dan mengekalkan kemajuan sekolah.  Kepimpinan ini termasuklah   peranan   yang   dimainkan   oleh   pengetua,  stail   pengurusannya, hubungan mereka dengan wawasan, nilai dan matlamat sekolah serta pendekatan mereka terhadap perubahan.

            Kepimpinan pengetua yang dinamik dan bersungguh-sungguh telah dikenalpasti sebagai satu pembolehubah yang dikatakan membawa kejayaan kepada sesebuah sekolah itu.  Edmonds (dalam Hussein,1997 : 112), misalnya menegaskan bahawa pengetua yang berkesan ialah pengetua yang memainkan peranannya sebagai pemimpin pengajaran dan pemimpin yang tegas.  Rutherford (1985), mengkonsepsikan pengetua yang berkesan sebagai pemimpin sekolah yang mempunyai wawasan yang jelas tentang sekolahnya.      Sergiovani (1984), pula mengkonsepsikan keberkesanan kepimpinan pengetua itu dari segi kuasa dan kemudahan yang ada padanya bagi melaksanakan sesuatu perubahan.  Dalam hubungan ini, tegasnya lagi terdapat lima kelompok peranan yang perlu dimainkan oleh pengetua sebagai syarat untuk mencapai kecemerlangan sekolah.

            Pertama, pengetua ialah pemimpin teknikal yang seharusnya memainkan peranan sebagai jurutera pengurusan.  Kepimpinan seumpama ini ditumpukan kepada teknik pengurusan yang cekap dan mahir dalam memanipulasi strategi dan keadaan demi untuk menjamin keberkesanan yang maksimum.  Kemahiran ini termasuklah aspek perancangan, pengelolaan, penjadualan dan penyelarasan.

            Kedua, pengetua sebagai pemimpin manusia.  Dalam hal ini pengetua meminkan peranan sebagai jurutera manusia.  Maksudnya pengetua sewajarnya mahir dan cekap dalam aspek perhubungan manusia dan perhubungan individu dan mampu memotivasikan stafnya.  Ini termasuklah membina dan mengekalkan moral yang tinggi di kalangan stafnya serta menggalakkan inovasi dan kreativiti, di samping memberi sokongan kepada staf.  Ini ialah langkah untuk melibatkan staf dalam membuat keputusan bersama

            Ketiga, pegetua sebagai pemimpin pendidikan.  Dalam hal ini pengetua memainkan    peranan     sebagai    clinical practioner,   iaitu    menyumbang  kepada
kepakaran dalam bidang pendidikan dan persekolahan.  Pemimpin seumpama ini juga perlu mahir dalam bidang kurikulum, diagnosis keperluan pelajar, penilaian dan penyeliaan atau pencerapan yang berkesan.

            Keempat, pengetua sebagai pemimpin simbolik.  Dalam konteks ini pengetua memainkan peranan sebagai penghulu yang memberi isyarat tentang nilai dan kepentingan atau tujuan sesuatu perkara yang hendak dicapai.  Kepimpinan seperti ini termasuklah aktiviti seperti lawatan ke bilik darjah dan kawasan sekolah, mengetuai upacara rasmi di sekolah,  di samping cuba mengenali pelajar-pelajarnya dengan lebih dekat.  Di samping itu pengetua ini juga mempunyai wawasan sebagai satu unsur kepimpinan.  Seterusnya wawasan ini disampaikan kepada stafnya dan pelajar di sekolahnya.  Kepempinan seperti ini meletakkan pengetua sebagai tumpuan perhatian bagi semua guru dan pelajar.

            Kelima, pengetua sebagai pemimpin budaya, Dalam hal ini pengetua memainkan peranan penting sebagai high priest.  Pengetua yang menjalankan peranan ini dapat dilihat menerusi usaha-usahanya mencari, mentafsir dan memperkukuhkan nilai, kepercayaan dan unsur budaya yang dapat menjadikan sekolah itu sebagai unik.  Peranan ini termasuklah mengadakan aktiviti sosialisasi guru dan pelajar dengan budaya sekolah, seperti mengadakan upacara memberikan hadiah atau penghargaan kepada sesuatu kejayaan yang dicapai.  Di samping itu peranan ini juga melibatkan usaha untuk menarik perhatian setiap orang guru dan pelajar di sekolah dan juga pihak lain terhadap pencapaian matlamat sekolah.

            Selain itu, pengetua yang efektif hendaklah bersikap tegas dan bermatlamat. Pengetua perlu peka dengan kepentingan peranan yang jelas, tidak mengamalkan pengurusan autokratik atau terlalu demokratik dan hendaklah mengenalpasti peranan kepimpinan di setiap peringkat dalam organisasi sekolah. Pengetua  sebagai  agen  utama  kepada  perubahan  hendaklah  menjadi  seorang yang proaktif.  Peranan utama pengetua hendaklah sentiasa mewujudkan dan mengekalkan kemajuan sekolah kerana dipercayai perubahan yang efektif hanya wujud dalam sekolah itu sendiri. Dalam hal ini pengetua sentiasa memperbaiki tabiat kerja mereka serta menyumbang ke arah kemajuan sekolah, membimbing, menunjuk ajar dan sentiasa memupuk semangat bekerjasama.

            Pegetua juga perlu  memainkan peranan sebagai jurulatih kepada guru di sekolahnya.  Pengetua mestilah sentiasa memberi sokongan dalam soal-soal kemahiran, pengajaran, pengurusan bilik darjah, memberi galakan inovasi dan mengemukakan idea-idea baru kepada guru.  Sebagai jurulatih pengetua juga perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan mereka dalam hal yang berkaitan dengan persekolahan, khususnya dalam bidang kurikulum sekolah, prestasi guru, pertumbuhan perkembangan pelajar, perhubungan manusia serta kajian terbaru, supaya mereka dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada guru mereka

            Pengetua juga menolong dan membimbing guru ke arah pemupukan sikap positif dan membina kepercayaan guru terhadap profesion mereka.  Pengetua juga perlu menjelaskan nilai disiplin pelajar kepada guru dan menyemaikan kepercayaan serta keyakinan guru bahawa setiap pelajar boleh diajar dan boleh dididik serta berpotensi untuk berjaya, jika pelajar diajar dan dididik dengan betul dan diberikan suasana yang memberangsangkan pembelajaran

            Peranan penting pengetua juga adalah untuk menyelia serta membimbing guru lain.  Pengetua memainkan peranan sebagai pemerhati, penyelaras, pembimbing dan sebagai sumber rujukan.  Pengetua yang berkesan akan sentiasa mengambil bahagian dalam membuat keputusan tentang pengajaran dan bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut.  Ini termasuklah kaedah mengajar, bahan pengajaran dan prosedur penilaian (Sweeney, dalam Hussein 1997 : 117)

            Menurut Bredeson (1985), peranan pegetua juga boleh diumpamakan seperti penjaga (caretaker) atau mandur.  Pengetua seperti ini menumpukan perhatiannya misalnya kepada penyediaan senarai tugas staf, peraturan dan disiplin pelajar, pesanan alat pengajaran di samping memastikan suasana sekolah kondusif bagi proses pengajran pembelajaran.  Peranan ini bolehlah dikatakan tugas menyelenggara pola-pola budaya sekolah, menyelenggara organisasi sekolah dan menyesuaikan dengan persekitaran luar

            Pengetua juga perlu menggunakan stail pengurusan yang partisipatif.  Mereka selalunya akan berkongsi tanggungjawab dengan ahli-ahli lain seperti pegawai-pegawai kanan dan guru-guru.  Ini bermaksud pengetua hendaklah melibatkan penolong kanan, ketua bidang dan guru-guru dalam membuat polisi, melibatkan diri dalam perancangan dan pengurusan kurikulum, berbincang dengan guru mengenai polisi kewangan dan sebagainya.

            Untuk menjadi seorang pengetua yang efektif seseorang itu tidak perlu terdiri daripada mereka yang ‘paling senior’ tetapi hendaklah memilih mereka yang bertindak memimpin secara profesional.  Pengetua sendiri hendaklah terlibat dalam aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan di dalam bilik darjah seperti pelaksanaan kurikulum, penggunaan strategi pengajaran dan juga mendiagnosis kemajuan pelajar.  Keadaan ini perlukan pengetua yang sentiasa bergerak, melawat bilik darjah dan berkomunikasi dengan guru.  Kesan pengetua ke atas pembelajaran pelajar, beroperasi secara tidak langsung iaitu melalui pengaruhnya ke atas budaya kerja kakitangan, sikap dan tingkah laku guru yang akhirnya akan mempengaruhi amalan bilik darjah.  Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

            Setiap organisasi perlukan satu matlamat dan wawasan yang dikongsi bersama.  Peranan pengetua di sini ialah untuk mempastikan semua staf di sekolahnya mempunyai persetujuan mengenai matlamat, wawasan dan nilai sekolah  tersebut.   Segala  keputusan  akan  dapat  dibuat  secara  kolaboratif dan konsisten.  Apa yang ditekankan di sini ialah kesatuan arah, di mana dapatan kajian telah mendapati wawasan yang dikongsi bersama akan meningkatkan aspirasi ke arah pencapaian matlamat bersama.  Kesemua ini adalah berkaitan dengan hasil pendidikan yang lebih baik.  Kesatuan arah ini jika digabungkan dengan sikap pelajar yang positif dan pembelajaran yang aktif akan menjadi satu elemen yang bertenaga untuk menghasilkan keberkesanan.

            Di samping itu pengetua juga perlu menggalakkan guru-guru supaya memiliki ketekalan amalan bekerja dlam aspek penilaian, penguatkuasaan peraturan dan polisi berkenaan sistem ganjaran dan dendaan kepada pelajar.  Ini kerana terdapat kajian yang mendapati guru-guru yang menerima pendekatan yang konsisten dalam melaksanakan garis panduan kurikulum akan menghasilkan kesan positif dalam kemajuan pelajar-pelajarnya.

            Pengetua juga berperanan untuk mengadakan satu persekitaran pembelajaran yang harmoni, tenang dan tersusun.  Keadaan ini akan menghasilkan pembelajaran yang efektif tanpa banyak gangguan.   Dalam usaha untuk mencapai keberkesanan pengajaran, pendek kata pengetua perlu memperbaiki proses pengajaran yang berjalan di sekolah antaranya termasuklah:

              I.    mengelolakan latihan pembangunan staf untuk guru di sekolahnya supaya mereka dapat meningkatkan lagi pengetahuan profesionalisme mereka
            II.    mewujudkan suasana sekolah yang tenteram, kerana ketenteraman itu amat perlu bagi melahirkan pencapaian yang baik di kalangan pelajar.  Pewujudan sekolah yang positif dapat dicapai melalui penyelesaian masalah secara kolektif, tanpa mengetepikan seseorang individu
           III.    membantu guru memperbaiki lagi kemahiran mereka dalam pengurusan bilik darjah dan perhubungan antara individu. atau pelajar.  Ini dilakukan dengan melihat kekurangan dan kelemahan sseterusnya berusaha untuk memperbaikinya
          IV.    menyediakan sumber yang mencukupi sama ada peralatan pengajaran atau personel.  Ini boleh dilakukan dengan mengadakan hubungan baik dengan pihak atasan (superiors) dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan sumber bagi kebaikan organisasi sekolah
            V.    mewujudkan mekanisme kawalan mutu bagi meningkatkan lagi proses pengajaran pembelajaran supaya matlamat dan objektif sekolah tercapai.  Ini termasuklah aspek penilaian guru, penyeliaan yang menyokong, ganjaran dan teguran, di samping mengadakan program tertentu yang bertujuan untuk melahirkan rasa bangga terhadap sekolah.
          VI.    mengadakan rancangan atau program khas bagi memmbantu pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran seperti kelas pemulihan, kelas bimbingan matematik dan sebagainya
         VII.    memajukan kaedah pengajaran dan penilaian formatif yang berkesan
                       
            Akhirnya dalam usaha menggalakkan pencapaian akademik dan meningkatkan kualiti pembelajaran, pengetua perlu mengadakan kerjasama dengan ibubapa.  Penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran pelajar akan menghasilkan kesan positif. Kehadairan ibu bapa, penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan menghadiri mesyuarat akan dapat meninggalkan kesan positif kepada pelajar.  Menurut Sharifah (2000), secara logiknya, apabila ibu bapa dan pihak sekolah mempunyai objektif bersama dan harapan yang sama kepada pelajar, satu kombinasi usaha yang baik dan padu akan terjalin dan hasrat untuk memajukan pelajar ini akan tercapai.


RUMUSAN

            Sekolah berkesan mempunyai kaitan dengan fungsi persekolahan dalam pendidikan moden.  Sekolah berkesan adalah sekolah yang memenuhi kehendak masyarakat.  Apakah kehendak masyarakat terhadap sekolah tertentu akan menjadi tanda aras keberkesanan sekolah.  Pada hari ini jelas sekali tujuan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah adalah untuk memastikan anak-anak mereka mencapai kecemerlangan dalam akademik.  Sungguhpun sekolah bukan semata-mata diwujudkan untuk tujuan akademik bahkan ia juga membentuk disiplin, sahsiah kepimpinan dan sebagainya, tetapi yang nyata ukuran terhadap kejayaan sekolah ialah kecemerlangan keputusan peperiksaan.

            Oleh itu segala aktiviti untuk mencapai kejayaan akademik sesebuah sekolah merupakan usaha-usaha menjadikan sesebuah sekolah berkesan.  Usaha-usaha untuk mencapai matlamat sekolah berkesan dapat dilihat melalui gagasan-gagasan seperti mewujudkan Sekolah Bestari, Sekolah Wawasan, Sekolah Harapan Sekolah Contoh dan sebagainya (Amir Hasan, 2002 :212)

            Pelbagai cara telah dicadangkan untuk menjadikan sesebuah sekolah berkesan.  Namun secara keseluruhannya sekolah akan berkesan sekiranya ia mempunyai kepimpinan yang berkesan.  Pemimpin sekolah yang berkesan akan dapat menggerakkan segala aktiviti yang membantu matlamat sekolah.  Pengetua sekolah yang berkesan perlu menentukan matlamat sekolah yang dikongsi bersama oleh guru-guru di bawah pimpinannya.  Sekolah perlu dijadikan tempat yang selesa untuk belajar.  Iklim sekolah yang kodusif dan memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat menetukan kejayaan akademik.  Bentuk pengajaran di sekolah berkesan dijalankan secara berstruktur dan perlu mengutamakan kecemerlangan.

            Pelajar-pelajar sentiasa diberikan harapan dan galakan untuk mencapai tahap kecemerlangan yang ditetapkan.  Pelajar-pelajar di sekolah berkesan mempunyai tahap disiplin yang tinggi kerana kejayaan akademik memerlukan sikap-sikap positif seperti bertanggungjawab dan rajin berusaha.  Di samping itu sekolah akan menjadi lebih berkesan dengan adanya sokongan dan kerjasama ibu bapa.  Keseluruhannya sekolah berkesan memerlukan pengurusan sekolah dan bilik darjah yang cekap, pembentukan budaya kerja dan pembelajaran yang kodusif, guru-guru bermotivasi yang dapat dijadikan model, pelajar-pelajar yang berdisiplin bertanggungjawab dan berciti-cita mencapai kecemerlangan.  Usaha untuk mewujudkan sekolah berkesan seperti ini  akan hanya jika tercapai pengetuanya memiliki ciri-ciri kepimpinan yang berkesan.
  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...